Dua lelaki Nigeria ditahan tawar khidmat seks guna gambar kerabat raja

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki warga Nigeria yang disyaki terbabit dengan sindiket menawarkan perkhidmatan seks tidak wujud ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jenjarom, Selangor, Selasa lalu.

Kedua-dua suspek berusia 25 dan 31 tahun itu, yang menyamar sebagai pelajar bidang pentadbiran perniagaan di kolej di ibu negara itu, ditahan selepas polis menerima laporan penyalahgunaan gambar seorang kerabat diraja dalam satu akaun Instagram pada 10 Julai lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, hasil siasatan awal polis mendapati akaun Instagram milik suspek menawarkan perkhidmatan seks tidak wujud termasuk perkhidmatan sugar daddy dan sugar mommy.

"Sindiket ini dipercayai menggunakan laman sesawang Asia Dating Hookup dan Alliance Dating Hookup bagi menawarkan perkhidmatan itu dan mendakwa tawaran perkhidmatan berkenaan berdaftar di Malaysia, Singapura dan Dubai," katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di sini hari ini.

Katanya, sindiket ini mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM8,000 semalam bagi ahli yang berdaftar bagi mendapatkan perkhidmatan seks daripada ‘Sugar Baby’ atau anak ikan.

“Bagi ‘Sugar Baby yang ingin bekerja, mereka perlu membuat bayaran pendaftaran sebagai ahli serendah RM400,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman mulai Rabu lepas sehingga esok bagi membantu siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Dalam perkembangan lain, seramai 24 individu termasuk seorang lelaki tempatan bergelar ‘Datuk’ ditahan kerana disyaki terbabit sindiket penipuan pelaburan forex melibatkan kerugian lebih RM30 juta Selasa lepas.

Mohd Kamarudin berkata,suspek yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan enam wanita warga tempatan, satu lelaki warga Thailand dan satu wanita warga Indonesia berumur lingkungan 25 hingga 57 tahun serta direman empat hari bermula Rabu lepas sehingga esok.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001," katanya. - Bernama