Wakaf Air inisiatif sementara: Tuan Ibrahim

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air Malaysia atau Wakaf Air hanyalah inisiatif bersifat sementara sebelum kerajaan membangunkan pengurusan bekalan air secara kekal di pedalaman.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia berikutan lokasi kawasan pedalaman kebiasaannya terletak jauh daripada paip utama pembekal atau operator air negeri, sekali gus memerlukan kos pembinaan yang tinggi.

Menurutnya, langkah yang digerakkan oleh KASA dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) akan membantu penduduk pedalaman untuk mendapatkan bekalan air bertapis menerusi pembiayaan daripada tabung tersebut, sementara proses pembangunan dilakukan di kawasan terlibat.

“Tanggungjawab kerajaan dan pembangunan akan terus dilakukan. Kementerian telah menerima senarai lokasi pedalaman yang memerlukan inisiatif tersebut, namun perkara itu masih belum dimuktamadkan.

“Suatu masa nanti mungkin tempat itu juga akan dibekalkan air oleh operator air negeri,” katanya selepas menjadi tetamu program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio pada Jumaat.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan individu yang mendakwa diri mereka sebagai ejen Wakaf Air.

Menurutnya, sehingga kini KASA tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi mengutip sumbangan dan sebarang sumbangan bagi inisiatif itu hanya secara dalam talian di laman sesawang YWM,

“Kita sedang berbincang untuk memudahkan orang ramai menyumbang seperti melalui agensi rasmi,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: