Pertimbang semula sesi persekolahan 2021

SIVARRAAJH
SIVARRAAJH
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh meminta kerajaan mempertimbangkan semula tarikh pembukaan sesi persekolahan 2021 bermula 20 Januari ini.

Menurutnya, kerajaan tidak perlu mengambil risiko untuk meneruskan rancangan berkenaan tanpa rancangan yang tepat.

"Ini adalah perkembangan yang membimbangkan. Pelajar, ibu bapa dan guru di sekolah sangat prihatin. Hanya satu kesilapan, kita mungkin mempunyai ratusan kluster di sekolah-sekolah seluruh negara.

"Melihat trend jangkitan semasa, walaupun sekolah dibuka semula seperti yang diumumkan, ibu bapa akan berasa ragu-ragu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah sekali gus mengakibatkan beberapa pelajar ketinggalan dari akademik,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) meramalkan gelombang ketiga pandemik itu boleh meningkat secara mendadak kepada 5,000 kes harian menjelang minggu ketiga Februari dan terus melonjak pada Mac jika RO kekal pada tahap 1.2.

Mengulas lanjut Sivaraajh berkata, selain murid, keluarga dan guru serta staf sokongan di sekolah turut akan terdedah dengan bahaya sekiranya ada masalah timbul pada hari pembukaan sekolah nanti.

"Apakah rancangan mitigasi Kementerian Pelajaran sekiranya ada masalah? Saya percaya pihak berkepentingan terutama pelajar, ibu bapa dan guru mesti berunding serta diberi penjelasan yang cukup mengenai kelancaran pembukaan sekolah nanti jika ada masalah timbul kelak," katanya.

Artikel Berkaitan: