X

Kindly register in order to view this article
!

Peruntukan RM8.9 juta kemudahan pelancongan

Zuraida (dua dari kanan) menyampaikan bungkusan pelitup muka kepada ahli Penggerak Komuniti Tempatan.
A
A

PORT DICKSON - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM8.9 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di tiga kawasan seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, peruntukan itu melibatkan tiga daerah iaitu Kota Tinggi, Johor; Hulu Selangor, Selangor dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Menerusi peruntukan tahun ini, kita mahu memberikan tumpuan kepada kawasan pelancongan yang akan menjana ekonomi dan memberikan hasil kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Di Port Dickson, sebanyak RM1.9 juta telah diluluskan untuk pembangunan 11 kawasan pantai dengan lima tema yang telah dikenal pasti iaitu santuari, sukan, riadah, urban dan rekreasi," katanya pada sidang akhbar di Majlis Perbandaran Port Dickson(MPDD) selepas membuat lawatan kerja di Port Dickson pada Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata, peruntukan itu adalah untuk kerja-kerja menaik taraf gerai, wakaf, kawasan riadah dan medan selera.

Menurutnya, inisiatif itu diharap dapat menarik kedatangan pelancongan sekali gus menjana ekonomi dan pendapatan negeri yang turut dapat meningkatkan ekonomi negara.

"Walaupun sekarang Covid-19, tapi ini tempoh terbaik untuk projek pembangunan. Jadi, bila Covid-19 sudah tiada, orang boleh datang.

"Saya sudah nasihatkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) untuk mencari kaedah bekerjasama dengan sektor swasta untuk bangunkan pembangunan di pesisiran pantai," katanya.

Selain itu katanya, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk kawasan Hulu Selangor manakala RM2 juta diluluskan untuk pembangunan pelancongan di kawasan Tanjung Sedeli, Kota Tinggi.

Sementara itu katanya, projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Kuala Lukut, Port Dickson yang kini sudah 75 peratus disiapkan dijangka siap sepenuhnya Jun tahun ini.

"Projek tersebut sepatutnya siap pada Disember lalu, tapi lewat oleh kerana isu Covid-19. Mengikut Akta Covid-19 pemaju ada pelepasan 167 hari dan projek ini akan dimulakan semula dan akan diteruskan dan siap pada Jun tahun ini.

"Projek ini dapat permintaan yang sangat baik dan daripada 659 unit rumah, ia telah terima permohonan 80 peratus dan mendapat kelulusan pinjaman bank," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!