Bantuan banjir: JAIS sedia panduan khas

MOHD SHAHZIHAN
MOHD SHAHZIHAN
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyediakan panduan khas agar misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dapat diselaraskan selepas ini.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, menerusi penetapan itu, misi bantuan oleh semua masjid pengurusan hendaklah dibuat dengan kerjasama atau pemakluman rasmi secara bertulis kepada Bahagian Pengurusan Masjid JAIS.

Menurutnya, selain itu, misi bantuan oleh masjid institusi, masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau kariah hendaklah dibuat dengan memohon kebenaran rasmi daripada Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing.

"Pihak terlibat perlu mengemukakan butiran seperti lokasi atau tempat spesifik penyaluran bantuan, bentuk bantuan disalurkan, tempoh berada di lokasi bantuan dan beberapa lagi.

"JAIS akan mengatur proses penyerahan sumbangan pada kadar segera melalui agensi-agensi berautoriti di negeri terlibat yang berperanan sebagai perantara untuk mengelak pihak tertentu mengambil kesempatan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan berkata, JAIS menyedari pelbagai usaha telah mula digerakkan oleh beberapa buah masjid, surau dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Katanya, situasi pasca banjir memperlihatkan kesan kerosakan luar jangka dan berbeza di beberapa negeri seperti Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak.

"Semangat untuk membantu juga perlu diimbangkan dengan semangat mengawal penularan Covid-19 yang berada pada tahap membimbangkan ketika ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, JAIS turut menyediakan mekanisme kutipan misi bantuan mangsa-mangsa banjir termasuk bantuan untuk institusi masjid dan surau terjejas melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) menerusi akaun Maybank: 562106718629.