Perlu serius bina generasi muda

A
A
A

TERHARU sungguh apabila membaca laporan di media sosial baru-baru ini berkaitan dengan ratusan ribu pelajar di India yang tidak dapat mengikuti pembelajaran di sekolah kerana tiada kelengkapan dan akses kepada internet di kediaman mereka.

Mereka juga terpaksa bekerja untuk meneruskan kehidupan. Apa yang nyata, situasi itu akan meningkatkan lagi eksploitasi buruh kanak-kanak, jurang kemiskinan semakin melebar dan institusi sosial tidak seimbang.

Pendek kata, dalam jangka masa panjang, kesannya bukan sedikit bagi negara berkenaan. Fenomena itu berlaku hampir di kebanyakan negara-negara yang sedang membangun di seluruh dunia.

Sebetulnya, semua negara yang berdaulat menyedari hakikat betapa pentingnya membina generasi muda bagi masa depan negara. Jika negara yang sedang membangun bergelumang membangunkan anak muda mereka melepasi garis kemiskinan, namun bagi negara-negara maju pula, isu berkaitan gejala sosial, tuntutan kebebasan melampau dan keharmonian keluarga menjadi isu besar yang diketengahkan dari masa ke masa.

Secara prinsipnya, semua negara memberi penekanan kepada kelestarian pendidikan, kesihatan, kerjaya dan psikososial generasi muda. Namun, kesungguhan sesebuah negara merealisasikannya jauh berbeza.

Menurut portal rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penduduk Malaysia dianggarkan seramai 32.7 juta orang dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan sebanyak 0.4 peratus bagi tahun 2020. Umur menengah pula adalah 29.2 tahun. Ia bermakna seramai 16.35 juta penduduk Malaysia adalah di bawah 29 tahun (setelah dibundarkan).

Dapatan statistik itu adalah selari dengan data yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa individu yang berada dalam kelompok umur 10 hingga 24 tahun menguasai 25 peratus populasi penduduk dunia.

Agenda membangunkan generasi muda di Malaysia haruslah dipandang serius supaya sentiasa kompetitif dengan negara-negara lain di dunia. Persoalannya, adakah kita benar-benar serius membina generasi muda setakat ini? Sejajar dengan keadaan negara kita yang masih utuh dan makmur, sewajarnya inisiatif membangunkan generasi muda perlu dipergiatkan lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurut World Economic Forum (20 Januari 2020), dijangka pada tahun 2030 dunia akan mengalami krisis antara pembelajaran dan kemahiran.

Kemahiran

Secara lebih jelas, apa yang mereka belajar tidak sesuai dengan kemahiran terkini yang diperlukan pihak majikan. Lantaran itu, adakah kita sudah bersedia menangani krisis ini?

Berdasarkan kajian oleh National Health and Morbidity Survey (2019) seramai 29.8 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 17 tahun di Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan. Ia bermakna, kita masih belum serius menangani masalah diet dan nutrisi kanak-kanak sama ada di rumah dan di sekolah, tidak seperti negara-negara maju yang lain.

Malah, jika diambil kira pertambahan data remaja kita yang terlibat dengan penagihan dadah, anak tidak sah taraf, membuang bayi, merempit, merogol dan sebagainya lagi, amat merisaukan lagi ke mana hala tuju mereka.

Menurut perspektif Islam, anak muda perlu dijaga dan disayangi sebagaimana Abdullah bin Abbas RA berkata, Nabi SAW bersabda: “Bukan daripada kalangan kami (sunnah kami) orang yang tidak menyayangi orang muda (lebih kecil usia) dan orang yang tidak menghormati orang dewasa (lebih berusia).” (Hadis Riwayat al-Tirmizi).

Oleh itu, membangunkan generasi muda adalah sunnah yang perlu diikuti. Sesungguhnya, akar keimanan dan pemikiran remaja perlu sentiasa dibajai dan diperteguhkan.

Akar yang kukuh membolehkan mereka berdaya tahan dan berupaya menaungi orang lain pula. Semoga kita bersama-sama mendidik mereka menjadi insan yang berperibadi mulia. Apa yang penting, mereka tahu bertanggung jawab kepada diri, keluarga, masyarakat, agama serta negara dan bukannya berkepentingan diri.

* Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial, Universiti Malaysia Perlis