Henti heret rakyat dalam isu politik

A
A
A

BARANGKALI macam satu tradisi negara untuk politik kita membuka setiap tahun baharu dengan penuh kontroversi. Sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tahun baharu kita sentiasa dimulakan dengan isu-isu politik yang hangat membahang.

Tahun ini juga nampaknya tidak terkecuali. Biarpun negara kritikal dilanda bah besar disebabkan musim tengkujuh yang luar biasa, ternyata itu pun tidak mampu meredakan bahang politik semasa yang membara.

Walaupun PRU15 masih belum kelihatan, gambaran kepada dekatnya negara kepada waktu itu semakin jelas. Kesimpulan bahawa hanya PRU sahaja yang mampu menyelesaikan kekusutan politik yang ada sudah jelas, di sebalik keengganan semua untuk mengadakannya. Disebabkan Covid-19 dan pengajaran pedih daripada apa yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu, kita menjadi serba salah untuk mengadakan PRU sekarang.

Cumanya, permasalahan politik yang wujud ketika ini sudah terlalu berat buat semua. Sama ada rakyat mahupun orang politik, bebanan itu jelas mesti diselesaikan dengan segera.

Dengan apa cara sekalipun, penyelesaian kepada permasalahan itu menuntut kepada penamatan segala yang ada dan mengembalikan fokus semua kepada kepentingan bernegara. Memang itulah yang diharapkan terutamanya rakyat. Nampak mudah tetapi kalau diteliti, ia sebenarnya amat sukar.

Mengapa sukar? Jika diambil kira perkembangan semasa dengan apa yang berlaku dalam sebuah parti orang Melayu ketika ini misalnya, mungkin memberikan gambaran terhadap permasalahan sebenar.

Kekacauan politik sebenarnya bermula daripada krisis dalaman parti yang kemudiannya melimpah menjadi masalah semua disebabkan adanya pertembungan antara kepentingan peribadi dan prinsip kepartian. Kalau dahulu, ia jarang berlaku disebabkan kedudukan parti yang kuat dan kukuh. Bukan tidak ada masalah dalam parti tetapi kerana parti kuat dan memegang kuasa, maka masalah itu dapat diselesaikan menerusi perundingan ataupun habuan bagi meredakan perbalahan.

Berbeza sekarang apabila keadaan parti adalah sebaliknya. Lebih malang apabila terpaksa berkongsi kuasa, wujud kejanggalan disebabkan tidak betah menjadi pemain biasa dalam pasukan disebabkan dahulu sering menjadi tukang catur dalam amalan dan budaya parti lama. Kena pula mereka-mereka yang berada dalam kepimpinan parti tidak lagi menjadi menteri seperti selalu, sebab itulah berlaku krisis disebabkan konflik kepentingan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pemimpin.

Artikel Berkaitan:

Cuma ironinya setiap kali permasalahan sebegini muncul, ia sering dipakej dengan istilah seperti 'kepentingan rakyat’, 'mendahulukan negara’ atau 'kehendak akar umbi’ seolah-olah apa yang dilakukan itu benar-benar datang daripada kemahuan rakyat.

Soalnya, yang menimbulkan permasalahan itu siapa, rakyat atau orang politik? Paling penting, kalau ia selesai, siapa yang memperoleh labanya?

Hakikatnya dalam pertelingkahan politik baik permulaan sehinggalah kepada penyelesaian, pihak yang selalu rugi adalah rakyat.

Ketika kuat dan berkuasa, ke mana istilah akar umbi, mendahulukan negara dan rakyat dalam kamus orang politik? Berapa kerap akar umbi dilibatkan dalam setiap keputusan parti dan kerajaan? Kenapa apabila beruntung, parti eksklusif kepada pemimpin atasan sahaja tetapi bila rugi dan bermasalah parti adalah milik akar umbi pula.

Apakah skim ‘untung pemimpin bolot dan rugi rakyat tanggung’ akan menjadi budaya dan amalan politik kita selamanya?

Kalau orang politik boleh mengetepikan ego dan benar-benar ikhlas mahu bekerja untuk negara, rakyat dan akar umbi, tanpa pilihan raya dan kuasa pun masalah yang ada kini boleh diselesaikan. Sebab itu cukup-cukuplah, berhentilah jual, heret dan babitkan rakyat dalam setiap permasalahan yang orang politik sendiri ciptakan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara