Australia kecewa apabila Abu Bakar Bashir dibebaskan

Abu Bakar Bashir (dua dari kiri) memasuki sebuah kenderaan selepas dibebaskan dari sebuah penjara di Bogor, Jawa Barat pada Jumaat lalu. - Foto AFP
Abu Bakar Bashir (dua dari kiri) memasuki sebuah kenderaan selepas dibebaskan dari sebuah penjara di Bogor, Jawa Barat pada Jumaat lalu. - Foto AFP
A
A
A

PEMBEBASAN guru agama terkenal Indonesia, Abu Bakar Bashir yang dibebaskan dari sebuah penjara pada Jumaat selepas tamat menjalani hukuman kerana membiayai dan memberikan dana kepada para pengganas Islam telah mencetuskan perbalahan antara kerajaan Australia dengan seorang anak lelakinya.

Media di negara yang terletak berhampiran dengan Indonesia itu melaporkan Canberra berasa bimbang selepas Abu Bakar dibebaskan dan sejumlah keluarga mangsa yang terbunuh dalam satu siri pengeboman di Bali turut kecewa dengan pembebasan tersebut.

Bagaimanapun, dia yang berumur 82 tahun dan bekas ketua kumpulan Jemaah Islamiah (JI) menafikan terlibat dalam serangan pengeboman termasuk di sebuah bar dan kelab malam di pulau percutian itu sehingga mengakibatkan 202 orang terbunuh dengan 88 orang daripadanya warga Australia pada tahun 2002.

Ia merupakan serangan pengganas yang membawa paling ramai kematian di Indonesia dengan melibatkan 21 buah negara.

Pada tahun 2005, Abu Bakar telah dipenjarakan selama dua tahun dan enam bulan di Indonesia kerana berkonspirasi dalam serangan bom di Bali, namun sebuah mahkamah tinggi Indonesia membebaskannya daripada dakwaan memberikan arahan bagi melakukan serangan di Bali setelah beliau membuat rayuan.

Namun, dia dibebaskan dan keluar dari penjara di Bogor, Jawa Barat dengan menaiki kenderaan pada Jumaat sambil ditemani oleh dua anak lelakinya, seorang doktor dan peguam.

Abu Bakar kemudiannya disabitkan kesalahan kerana membiayai sebuah kem ala tentera untuk melatih para militan Islam di Aceh dan dihukum penjara selama 15 tahun pada tahun 2011.

Bagaimanapun, dia diberikan pengurangan hukuman yang pada kebiasaanya diberikan kepada pesalah dengan mengambil kira cuti umum dan perayaan termasuk cuti sakit menyebabkan guru agama tersebut dibebaskan lebih awal.

Artikel Berkaitan:

Abu Bakar lahir di Jombang pada tahun 1938 dan lulusan Fakulti Dakwah, Universiti al-Irsyadm Solo dan dikenali sebagai aktivis Himpunan Mahasiswa Islam Solo, Gerakan Pemuda Islam Indonesia dan Lembaga Dakwah Mahasiswa Islam, lapor portal CNN Indonesia.

Pada awal tahun 1970an, dia mula menubuhkan pondok Al-Mukmin di Dusun Ngruki, Kabupaten Sukoharjo, Jawa Tengah pada tahun 1972 dan pernah menjadi salah seorang tokoh yang berpengaruh di Asia Tenggara dengan ideologi jihadnya.

Menurut BBC, Abu Bakar memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam Indonesia yang mengamalkan undang-undang syariah dan lulusan sekolah pondoknya digambarkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu Kumpulan Krisis Antarabangsa sebagai tempat merekrut anggota-anggota baharu JI.

Gambar fail menunjukkan runtuhan bangunan akibat pengeboman yang berlaku di pulau Bali sehingga mengakibatkan 202 orang terbunuh pada tahun 2002. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan runtuhan bangunan akibat pengeboman yang berlaku di pulau Bali sehingga mengakibatkan 202 orang terbunuh pada tahun 2002. - Foto AFP

Namun, dia sudah memutuskan hubungan dengan JI yang dikaitkan dengan kumpulan al-Qaeda dan dikatakan telah menyertai Majlis Mujahidin Indonesia.

Dia juga pernah dituduh mahu menubuhkan sebuah negara Islam oleh Presiden kedua Indonesia, Suharto tetapi berjaya melarikan diri ke Malaysia namun kembali ke tanah air selepas kejatuhan Presiden tersebut ekoran suasana politik dan ekonomi yang berlaku pada tahun 1998.

Di Malaysia, dia didakwa menjadi pemimpin kumpulan JI dan pada tahun 2004, Abu Bakar turut dituduh terlibat dalam kejadian bom kereta di Hotel Marriott, Jakarta yang berlaku pada tahun 2003 sehingga menyebabkan 13 orang terbunuh manakala 15 lagi cedera dan setelah dibicarakan, guru agama tersebut didapati tidak terlibat dalam serangan tersebut.

Pada September 2003, Mahkamah Agung Indonesia mendapati Abu Bakar bersalah melakukan pencabulan imigresen dan pemalsuan dokumen serta melepaskannya daripada dakwaan menyertai perbuatan keganasan selain tidak mempunyai hubungan dengan JI menyebabkan hukuman penjaranya dikurangkan daripada tiga tahun kepada 19 bulan.

Pada Jumaat, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi memberitahu beliau bersetuju bekas pemimpin JI itu dibebaskan atas sebab-sebab kemanusiaan, umurnya yang sudah tua dan keadaan kesihatannya semakin merosot.

Tetapi, pembebasannya diulas oleh Perdana Menteri Australia, Scott Morrison yang menyatakan kaum keluarga dan rakan yang kehilangan 88 warganegara tersebut dalam serangan pengeboman di Bali berasa sedih dengan keputusan membebaskannya.

Beliau mengmukakan alasan bahawa tidak mudah untuk rakyatnya menerima pembebasan seorang yang menurutnya didakwa terlibat dalam pembunuhan penduduk negaranya di Bali, menurut agensi berita AAP.

Menteri Luar Australia, Marise Payne pula dilaporkan berkata pada 5 Januari lalu, Indonesia perlu memastikan guru agama berkenaan tidak lagi menghasut tentang keganasan selepas dia dibebaskan dari penjara.

Namun, seorang anak lelakinya, Abdul Rochim membidas amaran kerajaan Australia itu tentang pembebasan bapanya dengan berkata kepada agensi berita AAP: "Kenapakah mereka (Australia) perlu mencampuri urusan orang lain."

Seorang penyelidik keganasan Indonesia, Al Chaidar memberitahu portal berita Deutsche Welle bahawa Abu Bakar tidak lagi mempunyai pengikut dan pengaruh yang kuat selepas dia terputus hubungan dengan Al-Qeada serta Kumpulan Negara Islam dan Syria (ISIS). - Agensi