Serangan ke atas demokrasi AS

A
A
A

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang terkenal dengan julukan ‘Raja Drama’ sekali lagi mencetuskan kontroversi menjelang hari-hari terakhir beliau di Rumah Putih apabila beliau berjaya memperdaya penyokongnya dengan dakwaan kononnya berlaku penipuan undi pada Pilihan Raya Presiden AS 2020.

Rusuhan ganas dicetuskan ribuan penunjuk perasaan pro-Trump ke atas bangunan Capitol itu turut ‘mendapat publisiti percuma’ apabila ia menjadi tajuk utama muka depan akhbar antarabangsa selain menerima kritikan kebanyakan pemimpin dunia pada Khamis.

Beberapa perusuh memecahkan pintu masuk bangunan Capitol tersebut.
Beberapa perusuh memecahkan pintu masuk bangunan Capitol tersebut.

Kebanyakan media antarabangsa juga memperlekeh tindakan bilionair hartanah tersebut yang mengancam demokrasi Amerika dan menghasut keganasan ketika Kongres sedang bersidang untuk mengesahkan kemenangan bakal Presiden ke-46 AS, Joe Biden.

‘Huru-hara’ dan ‘memalukan’ adalah perkataan yang paling banyak digunakan kebanyakan akhbar utama di Eropah untuk merujuk kepada insiden kekecohan yang mencalarkan imej AS kira-kira dua minggu sebelum tampuk pemerintahan negara itu diambil alih oleh Biden pada 20 Januari depan.

Anggota polis menahan penyokong Trump yang mencetuskan kekacauan di luar bangunan kerajaan tersebut.
Anggota polis menahan penyokong Trump yang mencetuskan kekacauan di luar bangunan kerajaan tersebut.

Akhbar Die Welt menerusi laporan ‘Hari Memalukan untuk Demokrasi Amerika’ menyifatkan AS berdepan cubaan rampasan kuasa yang ganas.

“Trump, pembohongannya dan parti Republikan yang lemah bertanggungjawab atas kejadian itu,” tegas wartawan yang menulis artikel itu, Clemens Wergin.

Artikel Berkaitan:

Di China, hashtag ‘Penyokong Trump serbu Capitol AS’ menjadi trending di laman blog mikro, Weibo dan mendapat sehingga 570 juta tontonan.

Kumpulan terbabit turut memecahkan tingkap dan bertempur dengan pihak berkuasa sebelum berjaya menyerbu masuk ke dalam bangunan Capitol.
Kumpulan terbabit turut memecahkan tingkap dan bertempur dengan pihak berkuasa sebelum berjaya menyerbu masuk ke dalam bangunan Capitol.

Pengguna media sosial turut membandingkan sokongan global terhadap protes prodemokrasi yang menyerbu Kompleks Majlis Perundangan di Hong Kong pada 2019 dengan kecaman ke atas perusuh pro-Trump.

“@SpeakerPelosi pernah menyebut demonstrasi di Hong Kong sebagai ‘pemandangan yang indah untuk dilihat’.

“Masih tidak jelas sama ada beliau akan menyatakan perkara sama dengan situasi huru-hara di Capitoll Hill?” sindir Global Times menerusi Twitter merujuk kepada kenyataan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi pada Jun 2019.

Penyokong pro-Trump berarak di jalan utama sekitar Capitol di Washington sebelum menyerbu bangunan tersebut untuk menjejaskan proses kiraan Undi Elektoral untuk mengiktiraf kemenangan Joe Biden.
Penyokong pro-Trump berarak di jalan utama sekitar Capitol di Washington sebelum menyerbu bangunan tersebut untuk menjejaskan proses kiraan Undi Elektoral untuk mengiktiraf kemenangan Joe Biden.

Rusia turut mempertikaikan sistem ‘kuno’ pilihan raya AS yang didakwa tidak mematuhi standard demokrasi dan pempolitikan media harus dipersalahkan atas perpecahan rakyat dan rusuhan ganas yang tercetus di Washington.

“Sistem pilihan raya di AS mewujudkan lebih banyak peluang untuk berlaku pelanggaran seperti itu dan media Amerika telah dijadikan alat perjuangan politik,” kata jurucakap Kementerian Luar, Maria Zakharova.

Anggota keselamatan di Capitol cuba menghalang penyokong Trump daripada menceroboh masuk ke dalam bangunan Capitol tersebut.
Anggota keselamatan di Capitol cuba menghalang penyokong Trump daripada menceroboh masuk ke dalam bangunan Capitol tersebut.

Jerman yang mengikuti perkembangan di AS memaklumkan ia akan meningkatkan perlindungan keselamatan di Bundestag selepas bangunan Parlimen terbabit pernah berdepan insiden kumpulan protes yang cuba menceroboh masuk premis tersebut pada musim panas lalu.

Pencerobohan ke atas bangunan Capitol kini meletakkan AS yang merupakan negara kuasa besar dunia kini berada ‘sekumpulan’ dengan Guatemala, Armenia dan Kyrgyzstan yang berdepan kejadian rusuhan menyasarkan Parlimen pada tahun lalu.

Antara harta-benda di dalam bangunan Capitol yang menjadi sasaran perbuatan vandalisme penyokong Trump.
Antara harta-benda di dalam bangunan Capitol yang menjadi sasaran perbuatan vandalisme penyokong Trump.