Sudah masanya rakyat bersatu

A
A
A

TAHUN 2021 nampaknya kita masih dibelenggu dengan pelbagai isu yang tidak berkesudahan. Malapetaka Covid-19 masih perlu dihadapi dengan kepaya-han pada tahun ini.

Nampaknya, pandemik itu akan terus berpanjangan untuk beberapa waktu lagi. Kita telah disuakan dengan angka-angka yang semakin meningkat.

Tahun 2021, keadaan rakyat jelata diburukkan lagi dengan berlakunya bencana banjir yang juga tidak pernah berkesudahan. Setiap tahun kita terpaksa menghadapi bencana banjir. Perbezaannya sama ada banjir kecil atau besar sahaja.

Namun, sekali lagi untuk tahun 2021, kita dihidangkan dengan tindakan rakus ahli politik yang sedang berebut kuasa. Ahli-ahli politik yang rakus bukan berfikir tentang rakyat tetapi lebih kepada kepuasan nafsu kendiri sahaja. Mereka sepatutnya bekerja untuk rakyat, bukan rakyat yang terpaksa menagih simpati mereka. Rakyat yang sepatutnya menjadi tuan kepada ahli politik. Mereka yang dipilih untuk menjadi wakil sepatutnya bekerja dengan seikhlas hati mendengar keluhan rakyat yang sedang dilanda duka.

Mereka sepatutnya datang kepada rakyat menadah telinga untuk mendengar masalah rakyat. Mereka sepatutnya menunggu rakyat di dewan orang ramai apabila ada majlis memberi sumbangan. Bukan rakyat yang datang menunggu mereka untuk menagih bantuan.

Maka, sudah sampai masanya rakyat jelata tidak lagi perlu taksub kepada ahli politik atau parti. Tidak perlu bersorak-sorak kegembiraan jika ada ahli politik yang kononnya cuba membela rakyat tetapi sebenarnya pisang emas di luar, onak di dalamnya.

Jika mereka bekerja dengan baik, maka rakyat akan menyokong penuh, jika tidak maka tolak sahaja mereka.

Rakyat tidak perlu berasa gembira dan menyokong membuta tuli lagi kepada ahli politik yang datang membantu rakyat dengan sekampit beras dan kemudian berkata itu jasa mereka, sedangkan ia tanggungjawab mereka. Tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan oleh mereka sebagai wakil rakyat yang bekerja untuk rakyat. Bukannya berebut kuasa, jawatan dan projek.

Artikel Berkaitan:

Rakyat jelata tidak perlu menagih simpati tetapi hendaklah bersatu bergerak sebagai satu kuasa, menjadi majikan kepada wakil rakyat. Dengan itu, wakil rakyat tidaklah boleh bertindak secara semborono sahaja.

Semberono

Jika mereka bertindak semberono, buang sahaja ke dalam tong sampah terutama sekarang, mereka hanya sibuk berpolitik dan menekan kerajaan sedia ada untuk mengadakan pilihan raya.

Dengan alasan, ia keputusan akar umbi. Saya pun tidak tahu akar umbi yang mana? Mungkin akar umbi yang sudah mereput dan mempunyai kepentingan dalam kalangan mereka sahaja, bukannya suara rakyat jelata.

Rakyat tidak boleh lagi seperti bak kata pepatah Melayu lama, menghulur-kan keris ke tangan orang. Nanti kita sendiri binasa jika orang yang menerima keris itu sebenarnya main akal.

Rakyat jelata boleh melihat sendiri berita-berita yang disajikan beberapa hari ini berkisarkan ahli-ahli politik yang cuba mencetuskan suasana yang tidak harmoni kepada kita.

Yang akan menjadi mangsa nanti adalah rakyat jelata juga, bukan ahli politik yang sudah mempunyai pendapatan kukuh dan tidak pernah rasa terkesan pun apa yang berlaku.

Maka kita sebagai rakyat jelata perlu untuk lepas bebas daripada pemiki-ran berparti dan taksub. Bersatu sebagai kuasa rakyat untuk bergerak secara saksama dan menjadikan wakil rakyat bekerja untuk kita.

Jangan biarkan mereka mempergunakan kita rakyat jelata sebagai alasan untuk berbuat itu dan ini demi mendapatkan kuasa. Bak kata pepatah lama lagi, kita ini sebagai rakyat jelata walaupun badan boleh dimiliki, hati tiada boleh dimiliki.

Dan mereka, walaupun ibarat kerbau bertanduk tetapi kita rakyat jelata ibarat rotan tetap berontak. Sekali lagi seperti yang saya katakan, sudah sampai masanya rakyat jelata menolak ahli-ahli politik tua yang suka membuat titian berakuk.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati bidang penulisan kreatif.