Polis beri amaran jangan tular gambar, video lama

Roslee (tengah) selepas melakukan tinjauan udara bagi meninjau situasi banjir di daerah Kemaman pada Jumaat.
Roslee (tengah) selepas melakukan tinjauan udara bagi meninjau situasi banjir di daerah Kemaman pada Jumaat.
A
A
A

KEMAMAN - Polis Terengganu memberikan amaran kepada orang ramai agar tidak menularkan gambar-gambar dan video banjir lama sehingga mengundang kegusaran kepada masyarakat.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, tindakan menularkan gambar dan video palsu adalah budaya yang tidak sihat yang akan menimbulkan keresahan dan panik dalam kalangan masyarakat.

"Kita tidak mahu ada pihak yang sengaja seronok menangguk di air keruh. Jika ada, kita akan bertindak tegas dalam isu ini.

"Pihak polis akan bertindak tegas dan akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kegusaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kita pandang serius isu ini dan tidak mahu ia menambahkan lagi keresahan rakyat, lebih-lebih lagi kita kini masih dalam usaha untuk menangani wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan udara bagi meninjau situasi banjir di daerah Kemaman pada Jumaat.

Jelas Roslee, kawasan Air Putih dan Pasir Gajah di Kemaman antara yang paling teruk terkesan dalam banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu sejak Ahad lalu.

"Balai polis juga antara yang terjejas susulan air naik secara mendadak, seperti Balai Polis Pasir Gajah, Kemaman yang terkepung dengan air banjir dan Balai Polis Kuala Jengai, Dungun yang dinaiki air.

Artikel Berkaitan:

"Kalau dilihat situasi semasa, keadaan cuaca yang lebih baik, air mungkin akan surut.

"Cuma nasihat kami supaya orang awam lebih berhati-hati menghadapi gelombang yang kelima dan jangan bimbang tentang keselamatan rumah masing-masing," katanya.