Mayat orang asli hilang ketika cari ketam ditemukan

Anggota bomba mengangkat mayat Wang selepas ditemukan terapung di kawasan paya bakau Sungai Karang, Iskandar Puteri pada petang Jumaat.
Anggota bomba mengangkat mayat Wang selepas ditemukan terapung di kawasan paya bakau Sungai Karang, Iskandar Puteri pada petang Jumaat.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Mayat seorang lelaki orang asli Seletar yang hilang semasa mencari ketam dengan menggunakan bot berhampiran kawasan paya bakau Sungai Sungai Boh di sini pada Rabu lalu ditemukan pada Jumaat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar berkata, mayat Wang Nad, 40-an, ditemukan terapung pada jam 4 petang.

"Mayat ditemukan di kawasan paya bakau Sungai Karang dalam jarak 2 kilometer radius dari tempat bot dijumpai sebelum ini. Mangsa telah dibawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Gelang Patah dengan menggunakan bot bomba.

"Mayat kemudian dibawa Hospital Kulai dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam kejadian pada jam 7 pagi Rabu lalu mangsa menaiki bot mencari ketam di kawasan paya bakau Sungai Boh di sini dan secara kebiasaannya akan pulang pada jam 2 petang.

Bagaimanapun sehingga jam 6 petang mangsa masih belum pulang dan isteri mangsa meminta pertolongan penduduk kampung untuk mencarinya namun gagal dan hanya menemukan bot mangsa sebelum meminta bantuan bomba.

Sinar Harian difahamkan mangsa mempunyai masalah kesihatan iaitu semput dan punca kematiannya masih lagi dalam siasatan.

Shamsul berkata, pihaknya dengan kekuatan 28 anggota menyambung kerja-kerja mencari mangsa pada jam 11.22 pagi Jumaat bersama-sama Jabatan Bomba Unit Pengesan (K9) K9 dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Artikel Berkaitan:

Katanya, pencarian dilaksanakan pada jarak tiga kilometer radius di kawasan paya bakau dibantu 30 orang awam bersama-sama 20 buah bot.

Beliau yang juga Ketua Balai BBP Iskandar Puteri memberitahu, operasi tamat pada jam 6.15 petang.