USNO kekal parti bebas di Sabah

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan USNO, Datuk Nani Sakam (dua dari kanan duduk) ketika sidang media di Wisma Merdeka, Kota Kinabalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan USNO, Datuk Nani Sakam (dua dari kanan duduk) ketika sidang media di Wisma Merdeka, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) kekal dengan pendirian sebagai parti bebas yang tidak menyokong mana-mana pihak termasuk kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Bagaimanapun, pendirian itu terpulang kepada kepimpinan baharu selepas pemilihan Mesyuarat Agung Pusat USNO pada 28 Februari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan USNO, Datuk Nani Sakam berkata, USNO tiada kaitan dengan mana-mana pihak ketika ini.

"Bebas, sekarang tiada kaitan dengan mana-mana (parti atau pihak) tetapi terpulang pada kepimpinan baharu nanti," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya Sinar Harian berhubung pendirian parti sama ada menyokong kerajaan GRS atau sebalikya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Diminta mengulas berhubung persediaan USNO untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) yang tengah hangat diperkatakan ketika ini, beliau berkata ia juga terpulang kepada kepimpinan baharu nanti.

"Ini luar daripada kita punya sidang media hari ini. Itu terpulang kepada kepimpinan baharu, kepimpinan baharu kita akan tahu pada 22 Februari sehingga mesyuarat agung, jadi biar mereka menentukan sama ada akan mengambil bahagian atau sebaliknya," katanya.

Mengulas berhubung pemilihan baharu nanti, sebanyak 12 bahagian yang layak untuk mengambil bahagian pada pemilihan itu nanti selepas pihaknya menerima kemas kini daripada setiap bahagian.

Artikel Berkaitan:

"12 Bahagian yang ada di tangan saya disahkan oleh ahli jawatankuasa pemilihan adalah Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Libaran dan Semporna.

"Sebanyak sembilan jawatan akan dipertandingkan di peringkat pusat iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan enam Ahli Majlis Tertinggi," katanya.

Terdahulu, beliau turut berkata, parti itu dilihat mulai diminati rakyat Sabah ketika ini selepas didapati jumlah keahlian semakin meningkat.

"Kita sekarang minimum 200 orang (keahlian) di setiap bahagian, contoh di Kota Belud sekarang sudah ada 800 keahlian, hari-hari ada mesej minta buka cawangan.

"USNO ini dilihat sudah mulai diminati oleh orang Sabah sebab di Sabah ini dulu tiada parti lain, USNO saja," katanya.