X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Sri Lanka tetap bakar jenazah orang Islam

Aktivis dan umat Islam di Sri Lanka membantah keputusan kerajaan untuk membakar jenazah orang Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Colombo pada Disember lalu. - AFP
A
A

COLOMBO - Kerajaan Sri Lanka pada Jumaat tetap dengan pendirian kontroversinya untuk membakar jenazah orang Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Keputusan itu sekali gus menolak saranan antarabangsa dan pakarnya sendiri untuk membiarkan jenazah dikebumikan mengikut syariat Islam.

"Keputusan ini tidak akan diubah atas alasan sosial, agama, politik atau alasan peribadi lain," kata Menteri Kesihatan, Pavithra Wanniarachchi.

Pengumuman itu dibuat walaupun sebuah jawatankuasa pakar yang dilantik kerajaan menyatakan pengebumian pesakit Covid-19 dibenarkan di bawah pengawasan ketat.

Pada Disember lalu, pihak berkuasa mengarahkan pembakaran 19 jenazah orang Islam termasuk seorang bayi yang meninggal akibat Covid-19, meskipun tindakan itu membangkitkan kemarahan umat Islam di negara berkenaan.

Susulan itu, pihak polis dicabar masyarakat Islam negara itu menerusi 12 petisyen difailkan komuniti minoriti dan kumpulan masyarakat sivil di Mahkamah Agung, namun ditolak tanpa sebarang alasan.

Majlis Islam Sri Lanka (SLMC) menyatakan, majoriti mangsa Covid-19 di negara itu adalah Muslim dan kebanyakan mereka kini takut untuk mendapatkan rawatan, sekiranya positif Covid-19 kerana tidak mahu dibakar jika berlaku kematian.

Sementara itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak Colombo supaya mengizinkan umat Islam menguburkan anggota keluarga mereka mengikut kepercayaan dan kewajipan agama.

Sri Lanka mewajibkan mayat mangsa Covid-19 dibakar sejak April tahun lalu di tengah-tengah kebimbangan yang disebarkan sami Buddha berpengaruh yang menyokong Presiden, Gotabaya Rajapaksa, kononnya mayat yang dikebumikan mampu mencemari air bawah tanah dan menyebarkan penyakit.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pengebumian dan pembakaran mayat dibenarkan.

Wujud ketegangan berterusan di antara umat Islam yang mewakili 10 peratus daripada 21 juta penduduk Sri Lanka dengan majoriti etnik Sinhala yang kebanyakannya beragama Buddha, selepas militan tempatan dituduh dalang pengeboman Easter 2019. - AFP


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!