Polis siasat motif penemuan senjata api di Johor

ACRYL SANI
ACRYL SANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat motif sebenar susulan penahanan 19 individu berserta rampasan beberapa senjata api dan peluru di Tampoi Johor pada 1 Januari lalu.

Difahamkan, kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada warga tempatan dan Indonesia berusia lingkungan 21 hingga 50 tahun.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesemua tangkapan itu masih dalam tindakan polis.

“Siasatan masih dijalankan untuk merungkai penemuan terbabit dan buat masa ini pihaknya tidak boleh mendedahkan lebih terperinci berikutan kewujudan senjata api terbabit di lokasi yang sangat diragui.

“Kita mahu lihat di sebalik kewujudan senjata api itu adakah ia digunakan dalam perkara yang menyalahi undang-undang atau adakah ia senjata yang perlu dilupuskan dan yang berkaitan dengannya.

“Buat masa ini, Polis Kontinjen Johor sedang menjalankan siasatan terperinci dan ada beberapa tindakan susulan sedang dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini pada Jumaat.

Dalam majlis itu, Acryl Sani melancarkan buku sejarah penubuhan Briged Tengah PGA dan Batalion 4, 5, 6, 19.

Mengulas sama ada adakah senjata itu digunakan untuk menyerang negara, Acryl Sani berkata, pihaknya tidak mengesan elemen berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini siasatan kita tidak nampak ia menunjukkan ke arah itu (serang negara),” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.