Tindakan pimpinan tertinggi UMNO tidak selari dengan pendirian parti

TUN FAISAL
TUN FAISAL
A
A
A

SHAH ALAM – Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz tampil mempersoalkan tindakan pimpinan tertinggi UMNO yang disifatkan tidak selari dengan pendirian parti iaitu 'No Anwar, No DAP'.

Beliau menyokong tindakan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang sebelum ini mempertahankan dasar perjuangan parti.

“Saya telah membaca kenyataan akhbar Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan. Sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian, saya tidak mempersoalkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Malah itulah yang dilaksanakan oleh Tan Sri Annuar iaitu mempertahankan keputusan dasar parti dengan bekerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), mengukuhkan Muafakat Nasional (MN), menyokong Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pendirian 'No Anwar, No DAP', katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun mempertikai dan mempersoalkan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangani surat sokong dan setia kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tun Faisal yang juga setiausaha akhbar Annuar turut membidas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan ahli MKT yang lain seolah-olah menjadi jurucakap kepada DAP untuk membawa jajaran politik baharu.

“Dasar parti juga jelas iaitu 'No DAP'. Tapi kenapa pengarah pilihan raya dan Ahli MKT seolah-olah menjadi jurucakap DAP dan membawa jajaran politik baharu yang digambarkan akan melibatkan Anwar, PKR dan DAP?" soal beliau.

Terdahulu, Shahril menafikan spekulasi bahawa wujud rundingan kerjasama sebalik tabir di antara UMNO dan DAP.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, rundingan bersama DAP dan PKR tidak pernah diputuskan dalam mesyuarat biro politik mahupun MT, bahkan Ahmad Zahid sendiri berulang kali menegaskan pendirian tidak akan bekerjasama dengan DAP.

Beliau berkata, perkara itu telah pun ditegaskan UMNO berulang kali.