Jepun diarah bayar pampasan kepada bekas hamba seks

Aktivis membawa potret bekas hamba seks tentera Jepun semasa protes di hadapan Kedutaan Jepun di Seoul pada tahun 2015.
Aktivis membawa potret bekas hamba seks tentera Jepun semasa protes di hadapan Kedutaan Jepun di Seoul pada tahun 2015.
A
A
A

SEOUL - Sebuah mahkamah di Korea Selatan pada Jumaat memerintahkan kerajaan Jepun membayar pampasan kepada 12 hamba seks Perang Dunia Kedua atau waris mereka.

Keputusan yang belum pernah terjadi itu sekali gus mengundang kecaman segera Tokyo kerana mendakwa ia melanggar perjanjian tahun 1965 antara kedua negara yang menyatakan tuntutan mangsa telah diselesaikan.

Mahkamah Daerah Pusat Seoul memutuskan bahawa Jepun harus membayar 100 juta won (RM369,744) kepada setiap mangsa terbabit.

Ia adalah kes undang-undang pertama membabitkan orang awam di Korea Selatan terhadap Tokyo oleh hamba Seks tentera Jepun yang dilabel sebagai 'wanita penenang'.

"Imperial Jepun bertanggungjawab untuk sistem 'wanita penenang'. Plaintif yang berusia lewat 20-an mengalami eksploitasi seksual berulang," kata mahkamah.

Sementara itu, Tokyo menyifatkan keputusan itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan memanggil duta besar Seoul untuk bantahan selain menuntut campur tangan kerajaan Korea Selatan.

"Keputusan Mahkamah Daerah Pusat Seoul yang menolak prinsip kekebalan berdaulat amat dikesali.

"Ia tidak dapat diterima oleh pemerintah Jepun," kata Kementerian Luar Jepun.

Artikel Berkaitan:

'Wanita penenang' Korea Selatan, panggilan yang merujuk kepada wanita yang dipaksa melacur dan diseksa secara seksual di rumah pelacuran tentera jepun sebelum dan semasa Perang Dunia Kedua.

Dianggarkan kira-kira 200,000 wanita kebanyakannya dari Korea dan bahagian lain di Asia termasuk China dijadikan hamba seks oleh Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Sehingga kini, hanya lima mangsa berdaftar di Korea Selatan yang masih hidup. - AFP