X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 29 Oktober 2021

Pelepasan air di empangan ikut SOP: TNB

Empangan Bersia adalah satu daripada empangan Stesen-Stesen Janaelektrik Sungai Perak yang telah melepaskan air secara terkawal mengikut prosedur sedia ada. - Foto TNB
A
A

KUALA LUMPUR - Pelepasan air secara terkawal di beberapa empangan hidroelektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) dibuat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan orang ramai.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd, Datuk Nor Azman Mufti berkata, ini dipastikan melalui kerjasama erat antara TNB, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

Menurutnya, pelepasan air terkawal di stesen hidroelektrik TNB itu perlu dilakukan kerana kenaikan paras berikutan hujan yang berterusan di kawasan tadahan yang luas.

“Empangan Chenderoh di Perak berada dalam keadaan baik serta selamat, manakala pelepasan air dari empangan tersebut dilakukan pada kadar terkawal bagi mengimbangi kadar kemasukan dan pelepasan air yang masuk dan keluar.

“Tiga lagi empangan yang telah melepaskan air secara terkawal adalah Stesen-Stesen Janaelektrik Sungai Perak (Empangan Bersia, Kenering, Chenderoh) mengikut prosedur sedia ada bagi memastikan paras selamat dapat dikekalkan disamping mengawal jumlah pelepasan yang bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat limpahan secara semula jadi di Empangan Kenyir ke Sungai Terengganu, namun jumlah limpahan tersebut masih berada di bawah paras kapasiti sungai.

“Malah air di Empangan Pergau (Kelantan) dan Temenggor di Stesen-stesen Janaelektrik Sungai Perak masih di bawah paras pelepasan air.”

“Selain menjana elektrik, fungsi penting empangan hidroelektrik TNB adalah mengawal aliran air yang banyak akibat hujan lebat berterusan.

“TNB juga memberi jaminan bahawa kesemua empangan-empangan terbabit berada dalam keadaan baik dan selamat,” jelasnya.

Ujar beliau, pihaknya telah mengadakan beberapa siri taklimat persediaan dan latihan kecemasan di stesen–stesen hidroelektrik dan pejabat operasinya bagi meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan operasi.

"Orang ramai boleh menghubungi TNB CareLine di 15454 sekiranya mempunyai sebarang maklumat lanjut mengenai pertanyaan atau aduan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!