Orang ramai mahu PKP dilaksana semula

Anggota Polis membuat sekatan jalan raya dalam memastikan orang ramai mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan di laluan keluar Plaza Tol Alor Setar Selatan pada Mac 2020 lalu - Foto Bernama, gambar kecil dari kiri: Rosdi, Ayuki, Mohd Noor Zee, Suriana.
Anggota Polis membuat sekatan jalan raya dalam memastikan orang ramai mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan di laluan keluar Plaza Tol Alor Setar Selatan pada Mac 2020 lalu - Foto Bernama, gambar kecil dari kiri: Rosdi, Ayuki, Mohd Noor Zee, Suriana.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilaksanakan semula bagi mengawal penularan Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

Perkara itu disuarakan orang awam ketika Sinar Harian melakukan tinjauan di lapangan yang meluahkan kekhuatiran dengan situasi pandemik itu di negara ini.

Rosdi Abd Rashid, 57, berkata, PKP perlu dilaksanakan di seluruh negara selepas PKP Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di beberapa negeri dilihat tidak berjaya mengawal penularan Covid-19 secara menyeluruh khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Saya sangat setuju PKP dilaksanakan kerana rakyat tidak berdisiplin dan sukar untuk mengawal penjarakkan sosial selain penguatkuasaan yang kurang efektif.

"Ekonomi memang akan terkesan tapi kerajaan perlu buat pilihan yang manakah yang lebih penting sama ada ekonomi atau nyawa orang?" katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Cadangan itu turut dipersetujui oleh seorang pekerja swasta, Mohd Noor Zee Othman, 50, yang turut meminta supaya kerajaan mempertimbang agar perkara itu dapat dilaksanakan secara bersasar di negeri-negeri yang mencatatkan kes yang tinggi.

"PKP dilihat berkesan mengawal Covid-19 namun dalam keadaan sekarang pelaksanaannya mungkin kurang sesuai. Ini kerana ramai yang hilang pekerjaan dan kerajaan sendiri belum tentu mampu untuk bantu menampung bebanan rakyat.

"Jadi saya cadangkan buat PKP bersasar mengikut lokaliti yang berada dalam zon merah. Saya juga harap pelaksanaan larangan rentas negeri juga dapat dilaksanakan semula kerana ia dilihat menyumbang kepada peningkatan kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, dia berharap sekolah dibenarkan beroperasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan.

"Wajibkan pemakaian pelindung muka (face shield) atau pelitup muka sepenuhnya sepanjang berada di dalam kawasan dan luar sekolah.

"Saya risau jika sekolah dibiarkan terus ditutup, ini akan memberikan kesan kepada anak-anak, tahun 2020 mereka dah banyak ketinggalan, jika diteruskan pada tahun ini, ia akan jejaskan sistem pembelajaran mereka," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Suriana Jaafar, 40, berkata, dia mahu PKP dilaksanakan walaupun bakal hilang pendapatan kerana keutamaannya mahu Covid-19 dapat dikawal.

"Masa PKP lalu pun memang saya tak meniaga selama tiga bulan. Saya akan akur jika sekali lagi PKP dilaksanakan.

"Cuma kalau boleh PKP jangan terlalu lama, dua minggu cukup untuk putuskan rantaian jangkitan. Insya-ALLAH jika dua minggu atau sebulan PKP dilaksanakan, kami mampu bertahan," katanya.

Seorang lagi peniaga, Ayuki Mustapha, 50, turut meluahkan kesanggupan PKP dilaksanakan selepas risau dengan keadaan Covid-19 yang terus meningkat sehingga mencecah 3,027 pada Khamis.

"Bagus untuk disiplinkan orang awam kerana ketidakpatuhan SOP menyumbang kepada peningkatan kes.

"Selagi kes Covid-19 tak selesai selagi itulah risau untuk hantar anak-anak ke sekolah, nak meniaga pun rasa tak tenang kerana risiko jangkitan merebak ke keluarga sendiri," katanya.

Pada Khamis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan PKP yang bersasar bagi mengatasi tekanan pada sistem penjagaan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negara kini berdepan dengan situasi yang kritikal dan memerlukan solusi ‘pemutus litar’ dalam menurunkan jumlah kes Covid-19.

Menurutnya, perancangan tersebut perlu dilaksana mengikut keadaan dan situasi di sesetengah kawasan.

Terdahulu, tular di media sosial bahawa kerajaan akan melaksana semula PKP bermula 12 Januari hingga 10 Februari ini di empat negeri iaitu Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Bagaimanapun, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan berita tersebut adalah palsu dan menasihatkan orang ramai agar berhenti daripada berkongsi berita yang tidak disahkan agar tidak menimbulkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Situasi Covid-19 kritikal, KKM cadang PKP bersasar

Jangkitan Covid-19 makin tidak terkawal