PGA tumpaskan 'sindiket' edar dadah

Antara dadah yang berjaya dirampas oleh PGA Batalion 7 Kuantan.
Antara dadah yang berjaya dirampas oleh PGA Batalion 7 Kuantan.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan empat lelaki dalam satu serbuan di Kampung Hutan Pasir, Tendong di sini pada Khamis.

Dalam serbuan jam 9 malam itu PGA turut merampas 87 biji dadah jenis Erimin, 61 bungkus air ketum, lapan botol ubat batuk dan wang tunai.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, kesemua suspek yang ditahan dalam serbuan itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Bagaimanapun, hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati hanya suspek berusia 25 tahun sahaja positif dadah," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Sebahagian daripada barangan yang dirampas oleh PGA Batalion 7 Kuantan iaitu 61 bungkus air ketum.
Sebahagian daripada barangan yang dirampas oleh PGA Batalion 7 Kuantan iaitu 61 bungkus air ketum.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia 25 dan 24 tahun itu mendapatkan bekalan dadah tersebut daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Mat.

Beliau berkata, suspek kemudian akan menjual bahan larangan itu kepada penagih-penagih di sekitar kawasan Tendong.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk wang tunai dianggarkan berjumlah RM2,367," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Azhari berkata, kawalan di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Rantau Panjang dan Tumpat yang ditenggelami banjir ketika ini terus diperketatkan.

Katanya, walaupun berdepan musibah berkenaan ketika ini, namun rondaan tetap berjalan seperti biasa.

"Kami sama sekali tidak akan berganjak daripada melakukan penugasan di perbatasan negara bagi memastikan jenayah rentas sempadan berjaya dikekang," katanya.