Akademi Profesor sokong cadangan laksana PKP bersasar

Kenyataan akhbar oleh Akademi Profesor Malaysia pada Jumaat.
Kenyataan akhbar oleh Akademi Profesor Malaysia pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Akademi Profesor Malaysia (APM) menyokong penuh cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersasar bagi mengatasi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan.

Menurut kenyataan bersama Ketua Kluster Kesihatan dan Perubatan APM, Profesor Dr Adlina Suleiman dan Timbalannya, Profesor Dr Noor Azah Abd Aziz, langkah tersebut penting bagi membantu usaha kerajaan ‘memutuskan litar’ penularan Covid-19.

Menurut mereka, pelaksanaan PKP secara bersasar dilihat berupaya untuk meminimumkan gangguan terhadap perjalanan ekonomi negara berbanding penguatkuasaan PKP seperti yang dibuat pada Mac tahun lepas.

Justeru, kenyataan itu meminta supaya sebuah garis panduan hasil daripada kerjasama semua pihak dapat dikeluarkan bagi memastikan usaha memerangi wabak Covid-19 dapat dilakukan dengan berkesan.

“Kami mengulangi saranan APM dalam kenyataan akhbar sebelum ini iaitu inilah masanya untuk pelbagai ahli profesional, pemimpin politik, sukarelawan daripada semua agensi kerajaan, swasta dan bukan kerajaan untuk bersama-sama mengeluarkan garis panduan yang jelas dan menyatukan idea bagaimana memerangi wabak ini.

“Kami dapati mesej masih belum diselaraskan dan ramai, yang tidak mahu bersuara kerana takut ditegur," katanya mereka dalam kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan tersebut turut mencadangkan beberapa pendekatan seimbang yang boleh diambil kira dalam menangani wabak tersebut; antaranya adalah mengurangkan beban katil hospital dengan hanya mengambil kes Covid-19 tahap dua dan ke atas.

“Selain itu, undang-undang bagi aktiviti perkumpulan, rentas sempadan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) perlulah diperketatkan. Ini kerana masih ramai yang tidak mematuhi pemakaian topeng muka dan penjarakkan fizikal.

Artikel Berkaitan:

“Malah, masih ada yang membawa keluarga bersiar-siar dan lepak di restoran dan kafe. Masyarakat perlu diingatkan supaya mereka hanya perlu keluar sekiranya jika betul-betul perlu,” ujarnya.

Berkenaan dengan kerjasama antara pihak swasta dan kerajaan, APM mencadangkan supaya kerajaan menjemput doktor swasta untuk membantu mengurangkan beban doktor di hospital dan klinik swasta.

Jelasnya, kerajaan juga boleh berusaha dengan pihak insurans bagi membolehkan kes ringan diberikan rawatan di sektor swasta.

“Doktor dan jururawat yang telah berpencen juga boleh dipanggil kembali untuk membantu merawat kes bukan Covid-19 di hospital dan klinik kerajaan.

“Selain itu, pembinaan hospital di lapangan sementara dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia juga boleh diusahakan sekiranya perlu,” katanya.

Pada Khamis, KKM mencadangkan PKP yang bersasar bagi mengatasi tekanan pada sistem penjagaan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negara kini berdepan dengan situasi yang kritikal dan memerlukan solusi ‘pemutus litar’ dalam menurunkan jumlah kes Covid-19.

Pada masa sama, KKM turut meramalkan gelombang ketiga pandemik itu boleh meningkat secara mendadak kepada 5,000 kes harian menjelang minggu ketiga Februari dan terus melonjak pada Mac jika RO kekal pada tahap 1.2.