Pas Kelantan akur keputusan Pusat

Che Abdullah Mat Nawi
Che Abdullah Mat Nawi
A
A
A

TUMPAT - Pas Kelantan akur setiap keputusan yang diputuskan peringkat kepimpinan tertinggi parti itu berhubung konflik politik dalam Muafakat Nasional (MN) ketika ini.

Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya yakin dengan pertimbangan dan percaturan kepimpinan Pusat bagi memberi yang terbaik kepada rakyat.

"Bukan hanya untuk masyarakat Melayu dan Islam tapi seluruh rakyat dalam negara ini. Kami menghormati pandangan akar umbi daripada pihak UMNO dan sebagainya.

"Pemimpin di peringkat bawah ini mungkin dia melihat di kawasan masing-masing, contohnya di Tumpat ini suara yang disampaikan mereka itu melibatkan masalah di kawasan dan sebagainya, manakala pemimpin atas melihat suasana yang lebih besar, kedudukan orang Melayu dan kesinambungan politik Melayu dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Terdahulu, beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI) merasmikan Program Santai Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, mengambil kira pengalaman yang pernah dilalui semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), ia sebenarnya memberikan kerugian besar kepada masyarakat Melayu secara khususnya.

Sebab itu, katanya, mereka tetap terus teguh dengan semangat MN yang telah ditandatangani sebelum ini dan berusaha keras untuk memperkasakan hubungan sedia ada.

"Kita cuba menyejukkan keadaan semasa sebab negara pun masih lagi dalam Covid-19. Kita yakin rakyat juga masih dengan kita, maknanya tidak berlakunya pilihan raya dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Ini juga untuk memastikan muafakat ini teguh dan kesatuan orang Melayu dapat disatukan. Sebenarnya rakyat kena yakin, apabila orang Melayu bersatu, ia akan memberi kestabilan politik kepada negara dan memberi kebaikan kepada orang bukan Melayu itu sendiri," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kata dua yang diberikan UMNO Kelantan melibatkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) baru-baru ini, Che Abdullah berkata, ia hanya perkara biasa.

Bagaimanapun, katanya, pemimpin atas yang berhak untuk membuat keputusan selanjutnya.

"Dalam politik, ini agak biasa. Maknanya masing-masing bawa pandangan dan sebagainya. Tapi pemimpin di atas itu yang akan buat keputusan. Yang terakhir kita yakin bahawa pemimpin ini akan beri keutamaan kepada perpaduan Islam dan keselamatan rakyat.

"Pemimpin atasan kena berjiwa besar dan ambil semua maklumat daripada bawah. Keputusan yang dibuat tidak semestinya mengikut semuanya yang di bawah tapi yang memberi kebaikan kepada ummah secara lisan," katanya.