X

Kindly register in order to view this article
!

Polis lengkapkan kertas siasatan kes kartel daging

Acryl Sani (tiga dari kiri) pada Majlis Perasmian Buku Sejarah Penubuhan Briged Tengah dan Batalion 4,5,6 dan 19 PGA di Ibu Pejabat Briged Tengah PGA, Cheras pada Jumaat. Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes kartel penyeludupan daging sejuk beku.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pada masa ini siasatan kes berkenaan sedang dikemaskini sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan.

"Jumlah laporan polis yang kita terima merekodkan pertambahan setiap hari.

"Ada lagi beberapa tindakan oleh pegawai penyiasat untuk mendapatkan beberapa keterangan. Beri masa kepada pegawai saya untuk menjalankan siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras di sini pada Jumaat.

Dalam majlis itu, Acryl Sani melancarkan buku sejarah penubuhan Briged Tengah PGA dan Batalion 4, 5, 6, 19.

Hadir sama Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar dan Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim.

Tambahnya, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran orang awam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sebanyak 71 laporan polis diterima pihaknya setakat Khamis.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 34 laporan dibuat di Johor, Kuala Lumpur (14), Kelantan (2), Melaka (4), Perak (5), Kedah (3), Selangor (3) dan Negeri Sembilan (2).

"Selebihnya adalah di Perlis (1), Pahang (1), Terengganu (1) dan Pulau Pinang (1)," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian dalam laporan eksklusif pada 2 Disember lalu melaporkan sebuah gudang daging sejuk beku di Senai, Johor telah digempur pihak berkuasa.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!