Facebook, Instagram lanjut pengharaman ke atas Trump

Laman sosial FB dan Instagram mengharamkan Trump daripada menggunakan aplikasi itu kerana menghasut kepada keganasan.
Laman sosial FB dan Instagram mengharamkan Trump daripada menggunakan aplikasi itu kerana menghasut kepada keganasan.
A
A
A

SAN FRANCISCO - Facebook mengharamkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump daripada menggunakan media sosial itu ekoran usahanya untuk menghasut keganasan di bangunan Capitol AS, kata Ketua Eksekutif, Mark Zuckerberg pada Khamis.

Zuckerberg berkata, pengharaman selama satu hari ke atas Trump di Facebook dan Instagram dilanjutkan kerana Trump didapati menggunakan media sosial tersebut untuk menghasut keganasan ke atas sebuah kerajaan demokratik.

Beliau berkata: "Insiden yang mengejutkan dalam tempoh 24 jam lalu (Rabu lepas) jelas menunjukkan bahawa Presiden Donald Trump berhasrat untuk menggunakan saki baki waktunya di pejabat untuk menjejaskan peralihan kuasa secara aman dan undang-undang kepada penggantinya, Joe Biden."

"Kami percaya risiko membenarkan Presiden untuk beliau terus menggunakan perkhidmatan kami semasa waktu ini adalah terlalu besar," kata Zuckerberg dalam akaun Facebooknya seperti dilaporkan AFP.

"Lagipun, kami melanjutkan sekatan yang telah kami lakukan ke atas akaun Facebook dan Instagramnya sekurang-kurangnya untuk dua minggu lagi dan sehingga peralihan kuasa aman selesai dilakukan," tambah kenyataannya.

Semua media sosial sebelum ini menyekat kenyataan Presiden AS itu berikutan dakwaan palsunya tentang berlakunya penipuan undi dalam pilihan raya Presiden pada 3 November tahun lalu dan peristiwa rusuhan para penyokong beliau di bangunan Capitol, Washington pada Rabu.

Seramai empat orang mati dalam kejadian rusuhan itu yang dilakukan bagi menghalang pengumuman Kongres AS di bangunan Capitol tentang kemenangan Biden dalam pilihan raya Presiden pada 3 November tahun lalu sekali gus bakal menggantikan Trump.

Aplikasi sosial kesukaan Trump iaitu Twitter pernah menyekat beliau daripada membuat ciapan selama 12 jam.

Artikel Berkaitan:

Twitter menyatakan walaupun sekatan tersebut telah berakhir, ia masih membuat penilaian termasuk memeriksa aktiviti dan kenyataan yang dibuat Presiden AS tersebut bagi menentukan sama ada sekatan perlu dilakukan.

Biden daripada parti Demokrat akan mengangkat sumpah jawatan Presiden AS bagi menggantikan Trump yang mewakili parti Republikan dalam satu majlis rasmi di Washington D.C pada 20 Januari ini. - Agensi