Pergerakan ke zon merah punca utama kes di Johor melonjak

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU – Peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri ini adalah susulan daripada saringan sukarela yang dijalankan pihak majikan terhadap pekerja warganegara asing sejak Disember lalu.

Exco Alam Sekitar dan Kesihatan Negeri Johor R Vidyananthan berkata, berdasarkan siasatan dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), punca utama pengenalan kes baharu dalam kalangan pekerja industri disebabkan pergerakan mereka ke zon merah di luar negeri itu.

"Mereka tidak tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) norma baharu yang telah diperkenalkan.

"Penempatan warga asing yang tidak mematuhi SOP, sentiasa sesak dan sempit juga didapati menyumbang kepada penularan yang cepat dalam kalangan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Katanya, susulan itu JKNJ bertindak pantas dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokasi industri yang dilapor mempunyai kes positif Covid-19 yang tinggi.

Sehingga Khamis katanya, terdapat tiga asrama pekerja asing dikenakan PKPD iaitu Asrama Westlite Johor Bahru, Arama Westlite 1 dan Westlite 2 di Kulai serta Asrama Kejora Juara, Bukit Pasir di Muar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kluster baharu yang dilaporkan pada Khamis iaitu Kluster Senai Murni merupakan kluster tempat kerja yang melibatkan daerah Kulai.

Jelasnya, kes-kes bagi kluster itu telah dilaporkan positif Covid-19 bermula 31 Disember lalu melalui saringan bersasar di tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga 7 Januari 2021, sejumlah 190 individu telah disaring, di mana 66 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

Perkembangan itu katanya, menjadikan sehingga Khamis kumulatif kluster aktif di Johor berjumlah 36 antaranya Kluster Senai Murni di mukim Senai); Kluster Firma (mukim Bandar); Kluster Persiaran Teknologi (mukim Kulai) dan Kluster Bersepadu (mukim Pengerang).

Sementara itu, Vidyananthan memberitahu, pada Khamis juga Johor sekali lagi melaporkan jumlah kes tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 1,103 kes baharu.

"Daripada jumlah ini, 1,043 adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.