Besar sungguh nilai kepercayaan

A
A
A

SEBAGAI individu, kita didukung oleh pelbagai nilai. Namun nilai yang paling besar perlu didukung ialah kepercayaan. Runtuhnya nilai tersebut maka runtuhlah juga nilai-nilai lain seperti jujur, amanah, baik hati, ikhlas dan sebagainya.

Pendek kata, apa guna kita jujur, jika akhirnya kita tidak dipercayai oleh orang lain. Begitu juga dengan sikap dan akhlak yang baik akan musnah dengan sekelip mata jika kita sudah tidak dipercayai lagi.

Pun begitu hendak membina nilai kepercayaan ini bukannya sesuatu yang mudah. Kadangkala kita diuji dengan kesabaran, ketaatan, keikhlasan, berdisiplin serta ikhlas dan jujur terhadap sesuatu amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada kita.

Ada kalanya, kepercayaan ini mudah sahaja terlerai setelah begitu lama bertaut. Oleh itu, nilai kepercayaan ini bukannya sesuatu yang remeh dalam perkembangan kehidupan kita.

Sebetulnya, nilai kepercayaan ini bukan sahaja mencerminkan keperibadian seseorang, namun ia lebih besar dari itu. Malah nilai kepercayaan ini boleh dikaitkan secara langsung dengan keluarga, bangsa, agama, negeri dan negara.

Walaupun kita tidak boleh membuat generalisasi secara keseluruhannya, namun, hakikat nilai kepercayaan ini boleh terpalit kepada perkara tersebut, ada kebenarannya secara umum. Sebagai contoh, kita kadangkala secara psikologinya lebih selamat untuk melancong ke negara Jepun berbanding dengan Venezuela kerana kita lebih yakin rakyat Jepun lebih dipercayai dengan rakyat Venezuela.

Begitu juga dengan sesuatu bangsa. Ada kalanya kita lebih selesa untuk berurusan dengan bangsa di negara maju berbanding dengan negara yang sedang membangun. Walaupun setakat ini tiada kajian yang lebih lengkap untuk mengkaji fenomena ini, namun sehingga kini itulah hakikat kebenarannya walaupun masih di peringkat persepsi.

Secara prinsipnya, nilai kepercayaan ini ada hubungan secara langsung dengan akhlak individu. Jika akhlak mereka baik, maka kita akan lebih mempercayai mereka. Maksud akhlak yang baik adalah meliputi sikap memenuhi janji, menunjukkan teladan yang baik, berkata benar dan tidak menipu, menjaga lidah, bertanggungjawab, boleh dipercayai, boleh diharap serta mempunyai amanah yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Apa yang nyata, ciri-ciri akhlak yang baik ini adalah merentasi semua kaum, jenis pekerjaan, pangkat serta darjat dan ketinggian tahap ilmu seseorang itu. Jika akhlak sebegitu sudah tidak lagi mendasari keperibadian diri, lama-kelamaan bukan sahaja masyarakat akan runtuh, negara kita juga boleh hancur dan musnah jika dihuni oleh majoriti rakyat yang tidak lagi boleh dipercayai.

Sebetulnya, kita tiada pilihan. Kita perlu tingkatkan usaha serta sentiasa konsisten agar orang lain percaya kepada kita. Jika kita hanya ‘buat-buat’ untuk orang lain percaya kepada kita, tunggulah, kita tidak akan kekal lama di persada ‘singgahsana kepercayaan’.

Perlu diingatkan bahawa kita bukanlah penilai yang terbaik untuk mengadili diri kita. Sebaliknya individu di luar sana yang menilai diri kita. Kadangkala kita rasa sudah buat yang terbaik, rupanya masih ramai yang kecewa dengan diri kita. Kita perlu sentiasa muhasabah diri dan membenarkan orang lain menegur diri kita.

Kadangkala rasa simpati juga pada individu yang cukup cerdik belajar namun keperibadiannya tidak mencerminkan tahap ilmunya. Malah ada juga yang hanya pandai untuk membodek bagi mendapatkan kepercayaan seseorang. Malah ada yang lebih teruk sanggup memfitnah dan memburukkan kawan sendiri untuk mendapatkan kepercayaan orang lain.

Bagi mereka yang cukup baik akhlaknya, namun kepercayaan ke atas dirinya terlerai kerana fitnah dan cerita buruk orang lain, maka kisah Imam As-Syafie menangani fitnah boleh dijadikan iktibar yang cukup baik.

Diriwayatkan suatu hari, sewaktu beliau sedang menyampaikan ilmu kepada para pelajar, tiba-tiba datang seorang wanita ke majlis ilmunya dengan berkata, “Wahai Imam, apakah kamu pada waktu malam berzina dan pada siangnya kamu menyampaikan ilmu pada orang ramai?”.

Kata-kata wanita tersebut telah menyebabkan pelajarnya menjadi gempar dan sebahagian besar terus meninggalkan majlis tersebut. Pada suatu hari rumah wanita tersebut telah terbakar dan Imam As-Syafie telah berjaya menyelamatkan anak-anaknya daripada kebakaran. Akhirnya wanita itu malu dan mengaku bahawa ada lelaki Yahudi yang telah mengupahnya untuk memfitnah beliau bagi menjatuhkan reputasinya.

Apabila ditanya oleh anak muridnya kenapa beliau tidak mempertahankan diri daripada fitnah tersebut, maka beliau membalas, “Jika aku menafikan fitnah tersebut, kamu tetap akan terbahagi kepada dua golongan iaitu; satu kumpulan tidak akan mempercayai dirinya dan satu kumpulan lagi akan tetap meragui dirinya walaupun tidak menjauhkan darinya. Justeru adalah lebih baik aku menyerahkan segala urusan tersebut kepada ALLAH semata-mata.

Apa yang nyata, kita harus sentiasa meletakkan diri kita di ‘singgahsana kepercayaan’. Jika kita jatuh kerana alpa, kita harus berubah dan bertaubat. Jika kita diheret jatuh, cukuplah dengan berkata, “Cukuplah ALLAH bagi aku dan Engkaulah sebaik-baik pelindung”.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis