Banjir: Wanita jaga suami terlantar cemas air naik mendadak

Pasukan penyelamat mengangkat Safari yang terlantar di atas katil, setelah kediamannya di Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman dinaiki air.
Pasukan penyelamat mengangkat Safari yang terlantar di atas katil, setelah kediamannya di Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman dinaiki air.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pembantu kedai cemas apabila air naik mendadak di kawasan kediamannya di Bandar Baru Bukit Mentok, di sini.

Hasnah Hanafi, 40, berkata, apa yang lebih merisaukannya ialah mengenangkan keadaan suaminya, Safari Osman, 42, yang terlantar sejak bulan lalu.

Menurut Hasnah, suaminya hanya mampu terbaring di atas katil setelah terjatuh ketika membaiki bumbung pada 22 Disember lalu.

"Sebelum ni, air tak pernah sampai ke depan rumah tapi kali ini air sudah mula memenuhi laluan kira-kira jam 8 malam.

"Bimbang jika air terus naik, saya ambil keputusan menghubungi pasukan penyelamat untuk berpindah," katanya.

Hasnah bersama suami dan tiga anak mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman pada Rabu, dengan bantuan pasukan penyelamat terdiri daripada polis, bomba dan sukarelawan.

"Saya berterima kasih kepada pasukan penyelamat yang membantu memindahkan suami dan kami sekeluarga.

"Dengan keadaan suami yang sakit, memang panik. Mujurlah ada yang prihatin membantu kami sekeluarga," katanya.

Artikel Berkaitan: