Polis beri amaran tindakan undang-undang individu degil pindah

Shafien (dua kanan) ketika meninjau paras air dan juga kehadiran orang ramai di Tambatan D’ Raja di sini pada Jumaat.
Shafien (dua kanan) ketika meninjau paras air dan juga kehadiran orang ramai di Tambatan D’ Raja di sini pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengingatkan mangsa banjir untuk segera berpindah jika diarahkan dan jangan biarkan pihak berkuasa mengenakan tindakan undang-undang disebabkan keengganan mereka.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, rakyat perlu bekerjasama ketika negeri sedang menghadapi banjir dan pada masa sama berdepan usaha mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, peringatan terbabit perlu dipandang serius oleh setiap lapisan masyarakat memandangkan bencana yang dihadapi ini bukanlah satu pesta untuk diraikan.

“Kita bimbang dengan keadaan sekarang, Covid-19 dan juga banjir. Banyak pertimbangan yang kita sudah berikan tetapi janganlah sampai kita laksanakan tindakan undang-undang disebabkan keengganan pindah.

“Kita masih lagi menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan orang ramai wajib patuhi prosedur operasi standard sepanjang masa,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Terdahulu, beliau bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Suhaimi Ali mengadakan tinjauan di Tambatan D’Raja di sini bagi melihat perubahan air Sungai Kelantan dan juga memantau kehadiran pengunjung.

Dalam perkembangan sama, Shafien juga memaklumkan sebanyak 39 kompaun telah dikeluarkan kepada orang ramai yang tidak mematuhi produser operasi standard (SOP) di seluruh Kelantan sehingga malam Jumaat.

Katanya, kompaun terbabit dikenakan kepada individu yang tidak memakai pelitup muka, langgar penjarakkan fizikal dan berhimpun di kawasan tumpuan sepanjang musim banjir.

Artikel Berkaitan:

“Semalam (Khamis) sahaja 20 kompaun dikeluarkan kepada mereka yang langgar SOP di sekitar tepi sungai Kelantan berdekatan Lembah Sireh. Ada yang tengok paras air tanpa patuhi SOP,” katanya.

Shafien berkata, beliau memahami fenomena di Kelantan yang mana setiap kali banjir ia bagaikan satu 'pesta' untuk melihat paras air di lokasi tumpuan.

Bagaimanapun tegasnya, SOP tidak harus diabaikan sehingga keselamatan diri menjadi taruhan.

Shafien juga meminta orang ramai merujuk laman sesawang kerajaan bagi mendapatkan maklumat rasmi berhubung situasi banjir di Kelantan berikutan terdapat banyak berita belum sahih yang tersebar di media sosial.

Sementara itu, Shafien turut mengesahkan terdapat dua kes lemas sepanjang musim banjir gelombang ketiga.