Kerja pembersihan dijangka ambil masa sehingga dua minggu

Keadaan di kawasan deretan kedai dan tempat menunggu bas yang hampir ditenggelami air ketika tinjauan banjir di sekitar bandar Temerloh, Pahang.
Keadaan di kawasan deretan kedai dan tempat menunggu bas yang hampir ditenggelami air ketika tinjauan banjir di sekitar bandar Temerloh, Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Kesan dan sisa banjir di daerah teruk terjejas banjir dijangka mengambil masa antara seminggu hingga dua minggu untuk dibersihkan, kata Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid.

Beliau berkata, paras air banjir yang mendadak naik menyebabkan kerosakan lebih teruk berbanding banjir tahun sebelumnya seperti yang berlaku di Maran yang menyaksikan orang ramai membuang banyak perabot rosak akibat terendam air banjir.

"SWCorp bekerjasama dengan pihak konsesi, Alam Flora Sdn Bhd dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kerja pembersihan sisa banjir dan berharap orang ramai dapat membantu dengan mengumpulkan sisa banjir di lokasi yang mudah dilalui lori.

"Ini bagi memudahkan pekerja kami melihat timbunan sampah itu dan di beberapa tempat terutamanya di kawasan kampung, jalan agak kecil menyebabkan lori kami tidak boleh sampai ke rumah penduduk," katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Sharudin berkata, setakat ini kerja pembersihan telah bermula di kawasan yang pulih banjir seperti di Bentong, Maran, Raub dan Kuantan melibatkan 161 pekerja dan lebih 27 aset termasuk lori dan jentera berat.

Pada masa sama, katanya, banjir yang masih berlaku turut menyebabkan dua pusat pelupusan sampah tidak dapat diakses iaitu di Belenggu, Temerloh dan di Jengka 10, Maran.

Menurutnya, sebagai langkah penyelesaian sementara, PBT daerah telah menyediakan pusat pengumpulan sampah sementara yang akan dibersihkan semula sebaik sahaja dua pusat pelupusan itu kembali beroperasi.

"Kami juga berharap orang ramai dapat bersabar jika kutipan sampah agak lewat kerana kakitangan kami juga ada menjadi mangsa banjir menyebabkan kami terpaksa mengatur semula gerak kerja setiap hari, bergantung kepada jumlah pekerja yang ada.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kami cuba untuk memastikan tidak berlaku 'backlog' (kerja tertunggak) kerana boleh membawa kepada permasalah lain menyebabkan kerja mengumpul sampah dan pembersihan dilakukan pada waktu malam," katanya.

Sharudin berkata, kerja pengambilan sampah di pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan dilakukan dua kali sehari kerana bimbang ia akan menyebabkan timbunan sampah yang banyak memandangkan semua makanan mangsa banjir kini disediakan dalam bentuk bungkusan ekoran pandemik Covid-19. - Bernama