Solskjaer tidak pasti turunkan Fernandes

Solksjaer (kanan) dan Fernandes.
Solksjaer (kanan) dan Fernandes.
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer enggan mengulas lanjut sama ada dia bakal menurunkan bintang Portugal, Bruno Fernandes pada aksi pusingan ketiga Piala FA Inggeris berdepan Watford di Old Trafford, awal pagi Ahad nanti.

Solskjaer berkata, dia pasti mahu menurunkan kesebelasan terbaik dalam usaha kembali bangkit daripada kekalahan berkenaan 0-2 kepada Manchester City pada aksi separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) di Old Trafford awal pagi Khamis lalu.

Bagaimanapun, menurut Solskjaer, perkara berkenaan hanya boleh diputuskan sebelum perlawanan berikutan khidmat Fernandes masih diperlukan bagi berdepan Watford dan seterusnya memastikan kemaraan skuad The Red Devils itu ke peringkat seterusnya.

“Saya tidak boleh buat keputusan sekarang tetapi saya tidak nafikan akan ada beberapa perubahan pemain bagi perlawanan ini, apatah lagi dengan situasi semasa keadaan saingan liga yang kita harungi ketika ini.

“Lagi pun, Fernandes ada memberitahu saya sebelum ini bahawa dia mahu beraksi dalam setiap perlawanan musim ini.

“Apa pun, kita akan lihat perkembangan terkini mengenai perkara itu dan saya akan mengadakan perbincangan lanjut dengannya dalam masa terdekat,” katanya.

Persoalan berhubung aksi Fernandes itu timbul setelah menyaksikan aksi hambar pemain berkenaan yang sekali gus dikatakan menjadi punca kepada kekalahan United kepada City pada aksi derby berkenaan.

Sementara itu, Solskjaer berkata, United tidak akan menurunkan penyerang Uruguay, Edinson Cavanii yang berdepan penggantungan perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, dia bakal melakukan sedikit rombakan pada jentera serangan skuad The Red Devils itu dalam usaha merobek gawang lawan daripada saingan Liga Kejuaraan itu bagi melakarkan kemenangan.

“Dalam setiap perlawanan, sudah semestinya kami beraksi untuk menang. Setakat ini kami telah mempamerkan kualiti dalam permainan kami dan kali ini kami perlu lakukan sedikit rombakan.

“Apa pun, kita akan lihat pemain mana yang cergas dan bersedia untuk beraksi pada perlawanan ini nanti,” katanya.