Majikan kepada pekerja asing perlu proaktif tangani Covid-19

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia menggesa semua majikan supaya melaporkan segera kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya terdapat pekerja asing yang digajikan mereka positif Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, tindakan itu perlu diberi perhatian serius susulan peningkatan kes positif Covid-19 yang telah mencecah lebih 125,000 kes.

Beliau berkata, majikan perlu bertindak lebih proaktif dalam membendung penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan pekerja asing yang mereka gajikan.

"Selain itu, majikan juga perlu menyediakan pusat kuarantin untuk tujuan pengasingan pekerja asing mereka yang disahkan positif wabak itu.

"Segala kos perbelanjaan perubatan serta penyaraan pekerja asing semasa tempoh pengasingan tersebut perlu dibiayai oleh majikan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat.

Saravanan berkata, majikan-majikan juga disarankan untuk melakukan ujian saringan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing selaras dengan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No. 9) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang telah berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.

Katanya, ia bagi membolehkan pengesanan awal pekerja asing yang positif Covid-19, seterusnya membendung penularan pandemik tersebut kepada rakan sekerja mereka yang lain.

Artikel Berkaitan: