X

Kindly register in order to view this article
!

PTPTN hargai petugas barisan hadapan

Wan Saiful (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan CSR PTPTN kepada pengerusi persatuan-persatuan penduduk PDRM di kawasan Setiawangsa di Perumahan PDRM Menara Seri Kemboja, Setiawangsa pada Khamis.
A
A

KUALA LUMPUR- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberikan bantuan berjumlah RM15,000 kepada anak-anak anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu meringankan perbelanjaan persekolahan mereka.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, bantuan itu disalurkan melalui Persatuan Penduduk Perumahan PDRM di kawasan Setiawangsa yang akan diagihkan kepada 10 kawasan perumahan PDRM.

Menurutnya, setiap kawasan perumahan telah diperuntukkan RM1,500 sebagai bantuan untuk membeli kelengkapan persekolahan seperti beg sekolah, alat tulis dan sebagainya.

“Pemberian bantuan berkenaan bertujuan membantu meringankan bebanan keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan dijangka akan memberikan manfaat kepada para pelajar.

“Ia adalah usaha PTPTN dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat. PTPTN menghargai tugas dan tanggungjawab anggota PDRM sebagai barisan hadapan dalam menjaga keselamatan negara dan mengekang wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan CSR PTPTN kepada Persatuan-Persatuan Penduduk PDRM di kawasan Setiawangsa di Perumahan PDRM Menara Seri Kemboja, Setiawangsa pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan PDRM Menara Seri Kemboja, Sub Inspektor Nordin Abdul Razak; Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengerusi-Pengerusi Perumahan PDRM.

Wan Saiful berkata, sebagai peneraju tabung pendidikan utama yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan masyarakat terutamanya dalam aspek pendidikan, PTPTN komited dengan misi untuk membantu dan menjaga kebajikan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Program bantuan seperti ini akan terus diperkasakan untuk memberikan motivasi kepada anak-anak mengenai pentingnya kejayaan dalam akademik untuk masa depan yang cerah, sekali gus melahirkan lebih ramai modal insan berpendidikan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!