Dana Kemudahan Teknologi BNM RM1 bilion bantu PKS

BNM menyediakan dana bernilai RM1 bilion bagi membantu PKS yang terjejas untuk pulih dan menggiatkan semula kapasiti inovasi negara.
BNM menyediakan dana bernilai RM1 bilion bagi membantu PKS yang terjejas untuk pulih dan menggiatkan semula kapasiti inovasi negara.
A
A
A

SHAH ALAM – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpeluang mendapat bantuan pembiayaan sehingga RM5 juta daripada dana Kemudahan Teknologi Tinggi Bank Negara Malaysia (BNM) - Aspirasi Pelaburan Nasional (HTF-NIA) bernilai RM1 bilion.

BNM dalam satu kenyataan berkata, penubuhan dana tersebut bertujuan membantu PKS yang terjejas untuk pulih dan menggiatkan semula kapasiti inovasi negara.

Menurutnya, kemudahan itu disediakan mulai 15 Disember 2020 hingga 31 Disember 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya iaitu mana yang lebih awal.

“Langkah ini penting bagi memperkukuhkan kedudukan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global, memelihara ekosistem rantaian penawaran dan melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi,” kata kenyataan tersebut pada Jumaat.

Dalam pada itu, BNM berkata, fokus dana adalah kepada PKS dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan berteknologi tinggi seperti yang termaktub dalam NIA1.

“Antara contohnya ialah perniagaan dalam industri sektor elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, farmaseutikal, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta firma berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menyokong pembangunan teknologi baharu,” katanya.

Tambahnya, peserta projek PKS dalam program penting kerajaan yang terlibat dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi untuk teknologi juga layak memperoleh inisiatif berkenaan.

Selain itu, menurut kenyataan itu, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan bernilai sehingga RM1 juta untuk tujuan modal kerja dan bernilai sehingga RM5 juta untuk membiayai modal perbelanjaan atau kombinasi modal kerja dan modal perbelanjaan untuk tempoh sehingga tujuh tahun.

Artikel Berkaitan:

BNM berkata, kemudahan itu ditawarkan pada kadar faedah pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun untuk pembiayaan tanpa jaminan atau sehingga lima peratus setahun termasuk fi jaminan dengan perlindungan jaminan daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).

"Bagi PKS yang berminat, boleh memohon terus kepada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank perdagangan, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM menerusi laman sesawang mereka atau hadir ke cawangan institusi kewangan peserta," katanya.