Kapal kargo ditahan bersauh tanpa kebenaran

Kapal kargo yang ditahan Maritim Malaysia kerana bersauh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 3.9 batu nautika barat Pulau Arang-Arang dekat Port Dickson pada Khamis.
Kapal kargo yang ditahan Maritim Malaysia kerana bersauh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 3.9 batu nautika barat Pulau Arang-Arang dekat Port Dickson pada Khamis.
A
A
A

PORT DICKSON - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 3.9 batu nautika barat Pulau Arang-Arang di sini pada Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, penahanan itu hasil perkongsian maklumat daripada Jabatan Laut Malaysia berhubung sebuah kapal kargo yang sedang berlabuh di pelabuhan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, sebaik menerima maklumat tersebut, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Ops Benteng Laut terus ke lokasi bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan.

"Setibanya di lokasi, anggota penguat kuasa Maritim Malaysia membuat pemeriksaan ke atas kapal kargo tersebut iaitu MV Bistari yang berdaftar di Ulaanbaatar, Mongolia.

"MV Bistari dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda kapal yang merupakan warga Indonesia berusia antara 21 hingga 53 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kapal kargo tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran berlabuh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia. Kapal tersebut seterusnya ditahan pada jam 11.40 pagi," katanya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kapal tersebut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi kerjasama yang baik dengan agensi kerajaan berkaitan dalam operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan: