'Saya tidak akan berputus asa'

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak akan berputus asa dalam usaha merapatkan pemimpin dan parti Melayu yang bertelagah.

“Mereka mungkin tidak selesa dengan pendirian saya, namun saya yakin lama-kelamaan ramai akan mula memahami. Saya tidak akan berputus asa merapatkan antara yang bertelagah.

“Menjadi jambatan antara dua jurang supaya pemimpin Melayu bersatu, membela kepentingan rakyat,” katanya di laman Facebook beliau pada Jumaat.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu bagi menggantikan Annuar.

Ahmad Zahid mengumumkan keputusan tersebut dalam ucapan semasa perjumpaan khas dengan Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu lalu.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, parti itu boleh menyingkirkan beliau daripada sebarang kedudukan, tetapi tidak sesekali dapat membuang pemikirannya bahawa orang Melayu perlu bersatu.

"Mereka boleh membuang saya asalkan mereka tidak membuang pemikiran saya bahawa orang Melayu perlu bersatu, parti-parti Melayu berpadu dan saya mahu UMNO memimpin penyatuan dan menunjangi permuafakatan nasional,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar menafikan kenyataan Ahmad Maslan sebelum ini yang mendakwa beliau berkata bahawa penolakan UMNO terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah disebabkan keengganan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggugurkan kes mahkamah adalah tidak tepat.

Artikel Berkaitan:

“Aduh, saya tidak fikir begitu. Rakyat memahami campur tangan kerajaan dalam hal mahkamah dan judisiari tidak harus berlaku. UMNO menghormati undang-undang dan prinsip pengasingan kuasa,” katanya.