Trump hulur perdamaian selepas rusuhan di bangunan Capitol

Donald Trump. - Foto AFP
Donald Trump. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump merayu untuk berdamai pada Khamis berikutan insiden rusuhan keganasan di bangunan Capitol AS yang berlaku Rabu lalu dan berikrar peralihan kuasa kepada bakal Presiden, Joe Biden akan berlaku secara aman.

Dalam satu rakaman video, Trump berusaha menenangkan tekanan selepas para penyokongnya menyerbu bangunan tersebut ketika undi elektoral kemenangan Biden sedang dikira di Dewan Perwakilan.

Presiden AS itu juga menyuarakan kemarahan ekoran pergaduhan yang berlaku antara para penyokongnya dengan anggota-anggota polis sehingga menyebabkan seorang wanita mati ditembak di dalam bangunan tersebut.

"Pentadbiran baharu akan dilakukan dengan rasmi pada 20 Januari ini. Fokus utama saya kini ialah bagi memastikan peralihan kuasa yang lancar, licin dan teratur. Kini adalah waktu untuk pemulihan dan perdamaian," katanya seperti dilaporkan oleh AFP.

Video tersebut dilakukan oleh Trump berikutan banyak desakan yang memintanya dipecat selepas para penyokongnya melanggar kawalan keselamatan di bangunan Capitol AS dan menyebabkan wakil-wakil rakyat Amerika menyembunyikan diri.

Sejumlah penyokong Presiden AS itu melanggar penghadang dan memasuki bangunan tersebut menggeledah pejabat dan menceroboh dewan persidangan wakil-wakil rakyat selepas mendengar ucapan beliau di di Taman Ellipse selatan Rumah Putih, Washington D.C.

Anggota-anggota pasukan keselamatan kemudian melepaskan gas pemedih mata dalam satu operasi selama empat jam bagi menyuraikan para penyokong Trump di dalam bangunan Capitol.

Polis berkata, seorang wanita dilaporkan penyokong Trump dari selatan California ditembak dan meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

Tiga orang lagi meninggal dunia di bangunan tersebut tetapi punca kematian mereka masih tidak diketahui.

Trump kemudian memberikan reaksi terhadap rusuhan itu dengan mengulangi dakwaan palsu yang dibuatnya tentang penipuan undi dalam pilihan raya Presiden pada 3 November tahun lalu sehingga mencetuskan kemarahan para penyokongnya.

Bagaimanapun, nada beliau lebih ke arah menenteramkan keadaan dalam video 160 saat pada Khamis lalu dengan menyatakan penggal pemerintahannya di Rumah Putih merupakan satu penghormatan dalam hidupnya.

Pada Rabu lalu, beliau memberikan komen tentang rusuhan tersebut dengan berkata, kemarahan perlu ditenangkan. - Agensi