Dua tahanan reman bukan lolos, tetapi dibebaskan

Laporan tular di media sosial berhubung dua tahanan reman didakwa lolos menyebabkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Laporan tular di media sosial berhubung dua tahanan reman didakwa lolos menyebabkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menafikan laporan yang tular di media sosial berkaitan dua suspek disyaki terbabit kes menembak anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 pada 12 November lalu meloloskan diri daripada tahanan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad sebaliknya berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 36 dan 37 tahun itu dibebaskan kerana permohonan reman tidak dilanjutkan mahkamah.

Beliau berkenaan, polis sebelum ini menahan 15 suspek dan hasil siasatan mendapati dua daripada mereka disyaki terbabit dengan kes tembakan itu.

"Mereka juga disyaki terbabit kes penyeludupan daun ketum, pencerobohan dan khianat di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam pada 12 November lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau bagaimanapun berkata, siasatan kes melepaskan tembakan terhadap anggota polis terbabit sudah selesai dijalankan.

"Kertas siasatan kemudian dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan polis masih menunggu arahan lanjut bagi pertuduhan kes di mahkamah.

"Kita juga menyiasat kedua-dua suspek melibatkan kes penyeludupan daun ketum, pencerobohan dan khianat di kawasan sempadan Bukit Kayu Hitam.

"Bagaimanapun, dua permohonan reman pada 6 dan 7 Januari berkaitan dua kes ini ditolak mahkamah. Jadi mereka dibebaskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu tular satu laporan mendakwa dua suspek yang terlibat dalam kes kematian anggota PGA cuba meloloskan diri daripada tahanan polis, selain disyaki mempunyai senjata api serta cuba meloloskan diri ke Thailand.