Rakyat kita pengotor?

Keadaan persekitaran pantai Port Dickson yang kotor dengan sampah dikongsi oleh Menteri Besar Negeri Sembilan di laman Facebook rasminya pada Jun 2020 lalu.
Keadaan persekitaran pantai Port Dickson yang kotor dengan sampah dikongsi oleh Menteri Besar Negeri Sembilan di laman Facebook rasminya pada Jun 2020 lalu.
A
A
A

RAKYAT Malaysia perlu mengikis sikap pengotor dan tiada sivik dalam diri masing-masing. Sampah dibuang merata-rata sedangkan tong sampah telah disediakan.

Lihat sahaja di kawasan pelancongan jeti Langkawi yang menjadi tumpuan baru-baru ini, misalnya, lampin pakai buang dicampak sesuka hati sehingga menyakitkan mata yang memandang.

Minggu ini tular satu video di media sosial yang merakamkan tabiat buruk orang kita membuang sampah daripada tingkap kenderaan ke dalam sungai, menjadi bukti bahawa segelintir rakyat Malaysia memang pengotor.

Tanpa rasa bersalah dan segan, dua beranak itu dilihat mencampakkan bungkusan berisi sampah ke dalam sungai. Selamba sahaja!

Insiden itu adalah sebahagian daripada ribuan lagi contoh yang mungkin tidak sempat dirakam atau menjadi tular. Tapi, hakikatnya masih ada segelintir orang kita yang tidak berdisiplin atau tidak pernah pun ambil peduli isu sampah.

Kadangkala ada perkara yang kita tidak nampak impaknya secara individu, namun menjadi masalah besar apabila dilihat secara kolektif.

Kita ambil contoh isu buang sampah merata-rata. Katakanlah, seorang membuang sampah kecil seperti pembungkus gula-gula. Secara individu, ia dilihat remeh sahaja kerana pembungkus gula-gula tak adalah besar mana pun.

Cuba kita bayangkan jika sejuta orang membuang pembungkus gula-gula, mesti impaknya menjadi lebih besar.

Artikel Berkaitan:

Di Malaysia, ia adalah antara masalah darjah pemikiran yang kita kena hadapi iaitu mentaliti kelas ketiga. Ramai yang fikir jika mereka buat sesuatu secara individu, ia tidak akan beri kesan besar. Apabila semakin ramai berfikir sebegitu, maka ia akan menjadi satu malapetaka.

Bagi golongan keras kepala, minda kelas ketiga mereka hanya satu – ‘campak sahaja ke mana pun sampah asalkan dalam rumah, kereta atau halaman aku bersih.’

Sikap mementingkan diri sendiri itulah yang mencemarkan imej negara, merosakkan alam sekitar dan mengundang bencana.

Iktibar

Jika kita boleh ambil iktibar mudah, cuba kita imbas kembali video-video tentang kejadian ombak besar di Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu minggu lalu.

Selain menginsafi kehebatan kuasa ALLAH SWT, kita juga patut terkejut dengan banyaknya sampah yang dibawa air laut kembali ke daratan.

Ia seolah-olah satu gambaran bahawa laut mengembalikan semula semua sisa sampah sarap yang dibuang ke laut ke daratan.

Ingatlah, alam sekitar juga mempunyai hak untuk menjalani kehidupan yang selesa tanpa dicemari oleh perbuatan tidak bertamadun manusia. Bumi adalah hak bersama, bukan milik mutlak manusia sahaja.

Kerajaan kita telah berbelanja jutaan ringgit untuk menangani sikap rakyat yang gemar membuang sampah tanpa mempedulikan kesannya kepada kualiti kehidupan, selain memperuntukkan RM200,000 sebulan bagi kerja pengurusan sampah di kawasan tidak dibenarkan di sekitar Kuala Lumpur.

Sama ada sedar atau tidak, negara akan menjadi longgokan sampah jika sikap rakyat tidak segera dibetulkan. Justeru, semua pihak perlu bekerjasama untuk merealisasikan agenda ‘Malaysia Negara Bersih’.

Berdasarkan statistik oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), seorang rakyat dianggar menghasilkan sebanyak 1.17 kilogram (kg) sampah sehari pada tahun 2018 berbanding 0.8kg (2005).

Penghasilan sampah harian dalam kalangan rakyat Malaysia mencatat peningkatan sebanyak 100.75 peratus kepada 38,142 tan pada tahun 2018, berbanding 19,000 tan pada tahun 2005.

Menurut laporan itu juga, peratusan sisa plastik direkodkan meningkat 20 peratus pada tahun 2018 berbanding 44.5 peratus daripada keseluruhan sampah adalah sisa makanan, manakala sisa plastik (13.2 peratus) dan lampin pakai buang (12.1 peratus) pada 2005.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan, memaklumkan empat tan sampah dikutip di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), manakala 2.5 tan di Bukit Bintang dan Dataran Merdeka (2.5 tan), selepas sambutan Tahun Baharu 2020.

Sampah akan membebankan masyarakat, termasuk kos kesihatan. Barangkali pemikiran rakyat masih belum hadam untuk melihat isu sampah sebagai sesuatu yang sangat serius, selain tidak mengendahkan untuk mengasingkan sisa buangan.

* Mohd Hanafiah ialah Editor Kandungan Komersial