Integriti hubungan sesama rakyat

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

DALAM sistem pemerintahan demokrasi yang diamalkan ketika ini, terdapat ruang kesamarataan rakyat berbilang kaum dan agama tentang hak-hak tertentu yang seharusnya dihormati oleh semua.

Integriti yang seharusnya diterapkan adalah hak kebebasan untuk melindungi keselamatan harta benda dan maruah termasuk agama dan cara hidup masing-masing. Bagi Malaysia, perinciannya telah diperkasakan dalam perlembagaan negara.

Dasar kebebasan dan pelaksanaan hak itu sebenarnya tidaklah boleh diambil sebagai kebebasan mutlak tanpa sempadan dan budaya yang tertentu kerana kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud dalam sebarang dasar hidup manusia, malah manusia sentiasa tertakluk kepada peraturan undang-undang dan tatasusila bagi sesuatu tempat dan bumi yang dipijak.

Kebebasan bersyarat itulah yang dipraktikkan dalam ajaran Islam sejak awal lagi dan ia diterapkan oleh dunia antarabangsa ketika Islam mula bertapak di negara-negara tertentu sehingga ke barat sendiri.

Oleh itu, dari perspektif agama, maka Islam melihatnya sebagai satu dasar umum untuk menjaga maruah dan kemesraan sesama manusia.

Ketika berpidato pada hari perpisahan Hajjatul-Wida' (Haji Selamat Tinggal), baginda Rasulullah SAW menegaskan antara lain: “Wahai insan semua, sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan kamu adalah haram ke atas sekalian sehingga kamu menemui Tuhan kamu seperti mana haramnya hari kamu ini di dalam bulan kamu ini dan di dalam negeri kamu ini.”Mesej yang disampaikan itu mengandungi perlindungan hak bagi seluruh manusia iaitu yang berkaitan dengan nyawa, harta benda, maruah dan kehormatan masing-masing.

Mesej itu juga jelas membawa aja-ran tentang kesamarataan manusia pada pandangan agama mengenai hak-hak tertentu yang seharusnya dihormati oleh semua orang dan pihak yang berkuasa.

Ayat berikut yang berbicara tentang persaudaraan sejagat manusia iaitu firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negeri-mu. Sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah, ayat 8).

Artikel Berkaitan:

Ayat itu jelas memerintah semua orang supaya berlaku adil dan bersikap baik terhadap semua manusia yang tidak bertindak menyerang atau melakukan sebarang tindakan lain yang bertujuan permusuhan kerana agama atau tindakan yang menggambarkan tujuan mereka untuk merampas negara milik umat Islam secara tidak berintegriti.

Ia juga mengingatkan semua manusia bahawa perbezaan agama, keturunan, bangsa dan budaya bukanlah harus dipergunakan untuk merosakkan keamanan serta kesejahteraan sesama manusia di atas muka bumi.

Malah, dalam kehadiran sebarang krisis perkauman dan keagamaan, hal berkenaan mestilah diselesaikan mengikut lunas-lunas nilai dan akhlak serta prinsip moral manusia itu sendiri. Bagi kita di Malaysia, ia adalah melalui peruntukan perlembagaan dan Majlis Raja-raja Melayu.

Setiap kaum dalam sesebuah masyarakat atau negara bersama tidak seharusnya berpecah belah menjadi masyarakat yang berbentuk polarisasi.

Bagi memelihara kesejahteraan dan keamanan serta pembangunan negara secara praktikal dan holistik, maka semua kaum harus mengamalkan kesatuan dalam kepelbagaian dan berkongsi nilai-nilai bersama yang universal, malah melaksanakan dasar persetujuan untuk mengakui perbezaan amalan agama masing-masing yang dianuti.

Ia tidaklah hanya teori dan slogan dalam arus pendidikan generasi seterusnya, sebaliknya harus menjadi asas aplikasi kehidupan dalam saluran pendidikan bangsa secara rasmi dan tidak rasmi untuk kesatuan serta pembangunan bangsa kita yang memperjuangkan integriti perkauman dan bangsa negara.

Semua kaum harus mengamalkan kesatuan dalam kepelbagaian dan berkongsi nilai-nilai bersama yang universal.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia