X

Kindly register in order to view this article
!

KKM perlu perkenal strategi baharu bendung Covid-19

A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu memikirkan kaedah baharu yang lebih berkesan untuk membendung penularan Covid-19.

Perunding Pediatrik dan Perubatan Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Musa Nordin berkata, strategi yang diguna pakai oleh KKM untuk menangani gelombang kedua didapati sudah tidak berkesan untuk membendung gelombang ketiga jangkitan wabak tersebut.

“Pertama KKM mesti meningkatkan kadar ujian yang dilakukan. Sekarang kadar positif ujian Covid-19 adalah 8.9 peratus.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa jika kadar positif ujian lebih daripada lima peratus, ia bermakna epidemik ini telah terkeluar dari kawalan KKM (adalah di luar kawalan) dan virus telah tersebar dengan begitu pantas di dalam komuniti itu,” katanya.

Menurutnya, antara faktor menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak berkesan untuk menangani penularan gelombang ketiga Covid-19 adalah kerana KKM didapati tidak berjaya melaksanakan beberapa perkara asas yang diperlukan untuk menyekat penularan Covid-19 dengan menggunakan strategi FTTI.

"Maksud F-T-T-I ialah F - cari (Find), T - uji (Testing), T - jejak (Tracing) dan I - asing (Isolate). Dengan sistem aplikasi digital yang canggih, kita boleh kenal pasti (cari) kawasan panas (hotspot) di mana banyak kes Covid-19 dijangka berlaku.

“Maka kita peru melakukan triaged (pilihan yang bijak) iaitu membuat mass testing (ujian yang luas) di kawasan berkenaan supaya kita boleh diagnos semua kes positif Covid-19.

“Kemudiannya, kes positif ini akan diasingkan dengan segera supaya dia tidak boleh menyebarkan virus kepada orang di sekelilingnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa KKM supaya meningkatkan ujian Covid-19 dengan menggunakan kaedah Rapid Testing Kit-Antigen (RTK-Ag) berbanding PCR.

Jelasnya, kaedah ujiian RTK-Ag bukan sahaja lebih mudah digunakan malah ia juga lebih murah.

"Yang paling penting sekali, keputusan ujian boleh didapati dengan kadar segera iaitu antara 30 ke 60 minit berbanding PCR memerlukan makmal dan Medical Lab Technologist untuk melakukannya serta mengambil masa satu ke tiga hari.

“Apabila keputusan diketahui, kes positif boleh diasingkan dengan kadar segera dan contact tracing boleh dilakukan. Ini cara yang paling berkesan untuk membendung penularan Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Pakar Epidemiologi daripada Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Bulgiba Awang berkata, KKM perlu mengkaji semula indikator yang digunakan bagi proses membuat keputusan dan tindakan dalam usahanya menangani krisis pandemik Covid-19 di Malaysia.

Katanya, pendekatan digunakan kerajaan ketika ini dilihat terlalu simplistik dan tidak berupaya untuk menggambarkan keadaan sebenar penularan wabak tersebut.

Menurutnya, kaedah semasa yang digunakan didapati gagal untuk memberikan penjelasan sebenar disebabkan perbezaan yang ketara dalam beberapa aspek seperti bilangan penduduk, kemudahan kesihatan dan kadar kenaikan kes di sesuatu kawasan.

“Sebenarnya kita perlu menggunakan petunjuk atau 'indicator' yang lebih baik untuk membuat keputusan. Pada masa sekarang hanya bilangan kes yang digunakan untuk menentukan sama ada sesuatu daerah itu zon merah, oren, kuning atau hijau.

“Kalau kita gunakan kadar pertambahan kes baharu (secara kumulatif selama 14 hari), ternyata beberapa negeri mengalami pertumbuhan kes yang cepat dalam tempoh 14 hari ini.

“Kadar kenaikan ini tidak seragam dan akan membebankan fasiliti kesihatan sehingga tidak ada pilihan lain selain mengubah strategi dari ‘containment (pembendungan) kepada ‘mitigation’,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Kesan daripada pendekatan tersebut, Dr Awang Bulgiba berkata, ia akan membawa kepada tindakan yang memerlukan kepada pesakit tahap satu dan dua untuk diasingkan di rumah dan hanya pesakit tahap tiga hingga lima sahaja yang perlu diasingkan di hospital.

“Ini memerlukan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan ketat untuk memastikan tiada penularan di kalangan warga lain.

“Selain itu, PKP juga mungkin perlu diperkenalkan semula untuk beberapa negeri yang menghadapi kenaikan kes yang banyak di mana kadar kes (dalam tempoh 14 hari kebelakangan ini) melebihi 100 untuk setiap 100,000 penduduk seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Menurutnya, pengenalan PKP sudah pasti akan membebankan rakyat disebabkan kesannya terhadap kebanyakan perniagaan yang tidak boleh beroperasi dan rakyat tidak dapat mencari sumber pendapatan.

“PKP perlu perancangan yang teliti sebelum ianya menjadi suatu lagi beban kepada rakyat yang pada masa yang sama dilanda musibah lain seperti banjir dan penyakit lain yang tidak mendapat rawatan yang optimum disebabkan tumpuan kita pada Covid-19 ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlulah memperkenalkan indikator dan indeks yang mengambil kira beberapa aspek seperti antaranya kadar kes per kapita untuk menunjukkan kepadatan kes dan kadar positif dan peratusan kes sporadik untuk menunjukkan kadar penularan dalam masyarakat.

Katanya, indeks tersebut juga perlu dibuat berpandukan masa berganda atau masa menjadi separuh (doubling time atau halving time) untuk menunjukkan kadar kenaikan atau penurunan kes nisbah antara kes baharu dan discaj serta peratusan penggunaan katil bagi menunjukkan kemampuan fasiliti kesihatan untuk mengendali kes.

“Perkara lain yang perlu diambil kira dalam indeks baharu itu adalah bilangan dan peratusan kes pada setiap tahap (clinical stage) penyakit untuk menunjukkan berapa serius penyakit, Rt untuk lokaliti, Rt untuk kluster, model korelasi spatio-temporal dan genotaip virus,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!