Pecat Donald Trump!

Pindaan ke-25 Perlembagaan AS membolehkan Pence mengetuai Kabinet dalam proses undian untuk memecat Trump. - Foto AFP
Pindaan ke-25 Perlembagaan AS membolehkan Pence mengetuai Kabinet dalam proses undian untuk memecat Trump. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Anggota Kabinet Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbangkan langkah pemecatan Presiden, Donald Trump yang masih mempunyai tempoh kira-kira dua minggu sebelum penggal pemerintahannya berakhir pada 20 Januari depan.

Keputusan itu membabitkan langkah Pindaan ke-25 Perlembagaan AS susulan insiden rusuhan ganas dilancarkan penyokong beliau ke atas Capitol sebagai cubaan untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Presiden AS 2020 pada 3 November lalu.

Pindaan itu membolehkan Naib Presiden menyingkirkan Presiden jika beliau didapati tidak berupaya melaksanakan tugasnya.

Perkara tersebut memerlukan Mike Pence mengetuai Kabinet dalam proses undian untuk memecat Trump dan beliau perlu mendapatkan majoriti 14 undi anggota termasuk dirinya sebelum menandatangani surat mengisytiharkan Presiden tidak berupaya meneruskan tanggungjawabnya.

Difahamkan, beliau akan diisytiharkan sebagai pemangku Presiden jika berjaya meraih undi majoriti.

Trump bagaimanapun dibenarkan untuk mencabar pengisytiharan tersebut.

Jika bilionair hartanah terbabit mempertikaikan keputusan itu, dua pertiga undi anggota Dewan Perwakilan dan Senat pula diperlukan untuk menyingkirkannya.

Pada Rabu, seorang anggota Republikan menyifatkan insiden kekecohan itu sebagai cubaan rampasan kuasa oleh Trump dan kumpulan penyokongnya.

Artikel Berkaitan:

CNN memetik sumber politik AS melaporkan Trump kini 'sudah tidak terkawal'.

Terdahulu, anggota Demokrat di Jawatankuasa Kehakiman Dewan Perwakilan bertindak mengemukakan surat kepada Pence untuk menggesa beliau segera memecat Trump atas tindakannya yang cuba melemahkan demokrasi negara itu.

Kandungan surat itu menyebut beliau tidak sihat daripada segi mental selain masih tidak dapat menerima keputusan Pilihan Raya Presiden AS 2020 tersebut.

"Presiden menghasut serangan ganas domestik ke atas Capitol. Beliau adalah ancaman kepada demokrasi Amerika dan perlu disingkirkan serta-merta," kata anggota Demokrat di Dewan Perwakilan, Kathleen Rice.

Gesaan supaya memecat Trump dibuat selepas Trump didakwa seakan-akan menggalakkan kumpulan penyokongnya melakukan rusuhan ganas tersebut.

"Saya akan bersama anda. Anda perlu tunjukkan kekuatan anda," kata Trump yang terkenal dengan slogan 'Make America Great Again' kepada kumpulan perusuh tersebut.

The Washington Post turut menyokong cadangan penyingkiran Trump kerana perbuatannya yang menghasut mengancam demokrasi AS.

Anggota Demokrat, Ayanna Pressley dan Ilhan Omar juga senada dengan gesaan banyak pihak yang menggesa pemecatan Trump.

"Langkah itu bagi mengelakkan beliau berterusan melakukan perkara yang membahayakan rakyat dan negara ini," tegas seorang lagi anggota Demokrat, Katherine Clark yang disokong beberapa anggota Republikan.

Menurut Gabenor Vermont, Phil Scott, prinsip demokrasi Amerika telah 'diserang' Presiden.

"Beliau wajar meletak jawatan atau dipecat oleh Kabinet atau Kongres," ujarnya menerusi Twitter.

Beberapa pakar bagaimanapun berpendapat adalah mustahil Kongres dapat memperoleh sokongan yang mencukupi untuk menyingkirkan Trump. - Agensi