X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

199 gangguan perkhidmatan telekomunikasi di Pahang

Foto 123RF
A
A

KUANTAN - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan terdapat 199 gangguan perkhidmatan telekomunikasi di Pahang akibat banjir yang berlaku sejak Ahad lalu dengan 78 daripadanya berjaya dipulihkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kawasan yang paling banyak terjejas ialah Jerantut dengan 41 gangguan dan pada masa ini kerja pemulihan sedang giat dilakukan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang berkenaan.

"Majoriti masalah ini disebabkan terputus bekalan elektrik kerana Tenaga Nasional Berhad sudah pasti mempunyai prosedur operasi standard sendiri apabila banjir berlaku demi keselamatan orang ramai,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan baucar bernilai RM150 daripada Tabung Bencana NSTP-Media Prima kepada 70 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara Balai Raya Kampung Tiram.

Menurutnya, usaha baik pulih itu dipantau oleh MCMC serta menambah gangguan telekomunikasi turut berlaku di kawasan lain yang terjejas oleh banjir.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tempoh pemulihan mengambil masa kerana pasukan teknikal tidak dapat ke menara pemancar disebabkan laluan ke situ ditenggelami air.

"Selain itu, ada juga kawasan menara dinaiki air selain hujan yang belum berhenti juga menyukarkan pasukan teknikal melakukan tugas dan ada juga gangguan ini berlaku di pemancar yang terletak di kawasan terpencil.

"Bagaimanapun, pasukan teknikal sedang mencuba sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera dan mereka juga boleh dianggap sebagai antara petugas barisan hadapan dalam kita berdepan situasi banjir," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah MCMC, Pahang Zahari Ismail dan Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima Berhad, Zasman Asna. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!