X

Kindly register in order to view this article
!

Mussola sementara untuk penduduk terjejas banjir: Zulkifli

Zulkifli - Foto Bernama
A
A

MARAN - Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengambil langkah proaktif mewujudkan mussola di pusat pemindahan bagi memudahkan penduduk beragama Islam yang terjejas banjir menunaikan solat.

Menterinya, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keadaan rumah mangsa banjir yang tidak terurus serta dipenuhi lumpur membataskan mereka mengerjakan solat di kediaman masing-masing.

“Mussola ini diharap dapat membuatkan mereka melaksanakan ibadah dengan lebih selesa kerana ia turut dilengkapi kemudahan mengambil wuduk dan sejadah.

“Agensi kami seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan membantu mewujudkan mussola ini bagi mereka menunaikan solat dengan selesa, bagi pusat pemindahan di masjid dan surau kami akan membantu mencuci kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan mussola di pusat pemindahan Taman Maran Jaya di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib.

Sementara itu, Zulkifli berkata, semua agensi di bawah kementeriannya kini menggembleng tenaga untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas.

Selain Yadim, katanya, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Yayasan Taqwa, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pusat Pungutan Zakat diarah mengagih bantuan kepada mereka yang terlibat.

“Masing-masing mempunyai peranan, ada yang bantu dari segi makanan, pakaian, duit, kelengkapan, buku dan sebagainya, kami cuba bantu sehabis baik,” katanya.

Pada majlis itu, Zulkifli turut menyampaikan sumbangan peribadi dan makanan kepada 162 keluarga di pusat pemindahan banjir itu. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!