Shalin atlet luar biasa

Shalin meraih pelbagai kejayaan baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa sejak bergelumang dalam arena tenping boling selama 28 tahun.
Shalin meraih pelbagai kejayaan baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa sejak bergelumang dalam arena tenping boling selama 28 tahun.
A
A
A

KEPUTUSAN ratu tenpin boling negara, Shalin Zulkifli bersara daripada sukan berkenaan jelas memberi kesan mendalam kepada rakan sepasukan yang menyifatkan pemain senior itu seorang atlet luar biasa.

Pemain boling wanita negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman berkata, atlet berusia 42 tahun itu mempunyai aura luar biasa dan sentiasa memberi sokongan moral kepada rakan sepasukan ketika beraksi dalam sesuatu kejohanan.

"Sebab bila dia (Shalin) ada, kita rasa lebih bersemangat, kita tahu dia jenis yang tidak pernah berputus asa dan dia akan sokong rakan sepasukan lain terutamanya apabila mereka gagal mempamerkan balingan cemerlang," katanya.

Berkongsi pandangan sama, rakan sepasukannya Muhammad Rafiq Ismail menyifatkan Shalin seorang senior yang tidak lokek memberi tunjuk ajar walaupun beliau sudah berada dalam kelas tersendiri menerusi kejayaan cemerlang dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

"Sebenarnya saya pun agak terkejut bila dapat tahu Kak Shalin bersara kerana beliau adalah sebahagian daripada keluarga besar tenpin boling.

"Karier setiap orang pasti ada penghujungnya, jadi saya doakan yang terbaik untuk beliau dan saya harap Kak Shalin sentiasa doakan perjuangan kami selepas ini," kata pemenang pingat emas Kejohanan Dunia 2018 itu.

Shalin yang mencipta kerjaya cemerlang dengan mengumpul 74 pingat sepanjang pembabitannya selama 28 tahun di peringkat antarabangsa menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Ketua Jurulatih Kebangsaan, Holloway Cheah pada Selasa lalu.

Shalin mula bermain boling ketika berusia sembilan tahun dan pada 1991 beliau dinobatkan sebagai Olahragawati Muda Harapan Selangor.

Artikel Berkaitan:

Tiga tahun kemudian, beliau memenangi Kejohanan Wanita Kent Malaysian All-Stars 1994 dengan menjadi pemain termuda serta pemain Malaysia pertama melakukannya dan sejak itu beliau tidak berpaling ke belakang dalam sukan yang diminatinya dengan merangkul pelbagai gelaran sama ada di peringkat kebangsaan, Sukan Sea, Sukan Asia, Sukan Komanwel mahu pun dunia.

Beliau dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali iaitu pada 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002.

Bekas pemain nombor satu Asia itu pernah meraih pingat emas Kejohanan Dunia sebanyak tiga kali iaitu pada 2003 di Malaysia, 2007 di Mexico dan 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.