Sembilan kluster baharu, kes kluster lama juga tinggi

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selain sembilan kluster baharu, 52 daripada 254 kluster aktif sedia ada juga melaporkan pertambahan kes baharu yang agak tinggi pada Khamis dengan Kluster Bukit Pasir (Muar, Johor) mencatatkan angka tertinggi iaitu 779 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, turut mencatatkan peningkatan ketara dalam kalangan kluster sedia ada adalah Kluster Dataran Utas (156 kes) dan Kluster Beringin (101 kes).

Beliau berkata, sehingga kini, 570 kluster telah dilaporkan termasuk sembilan kluster baharu pada Khamis, manakala 316 kluster telah tamat termasuk tujuh pada Khamis iaitu Kluster Cempaka (Johor), Kluster Hilir (Kelantan), Kluster Karamunting (Sabah), Kluster Lengkuk (Selangor dan Negeri Sembilan), Kluster Prestij (Kuala Lumpur), Kluster Sutera (Sabah), dan Kluster Tapak Bina Sungai Udang (Kuala Lumpur).

"Daripada sembilan kluster baharu itu, tiga melibatkan kluster tempat kerja masing-masing di Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.

“Sembilan kluster itu adalah Kluster Senai Murni, Tapak Bina Hartamas, Damai Pelangi, Tapak Bina Jalan Ipoh, Rungkup, Desa Setapak, Jalan Jaya, Ziarah Putra dan Keranji Tabuan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, Kluster Senai Murni melibatkan daerah Kulai, Johor dengan kes bagi kluster itu dilaporkan positif bermula pada 31 Disember 2020 melalui saringan bersasar di tempat kerja dan sehingga Khamis sejumlah 190 individu telah disaring dengan 66 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Kes bagi Kluster Tapak Bina Hartamas yang juga berlaku di tempat kerja melibatkan daerah Hulu Langat, Selangor dilaporkan positif bermula Khamis melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan dengan sejumlah 205 individu disaring (48 kes positif) setakat Khamis.

Sementara itu daerah Kepong, Kuala Lumpur mencatatkan kluster tempat kerja baharu dinamakan Kluster Tapak Bina Jalan Ipoh, dengan kes-kes bagi kluster itu dilaporkan positif bermula hari ini melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan.

Artikel Berkaitan:

Noor Hisham berkata, sehingga Khamis sejumlah 570 individu disaring dengan 98 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.

“Kluster Damai Pelangi melibatkan sebuah pusat tahanan di daerah Hulu Selangor, Selangor. Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 18 Disember melalui saringan tahanan. Sehingga 7 Januari, sejumlah 871 individu disaring dengan 21 kes dikesan positif.

“Kluster Rungkup melibatkan daerah Kepong, Kuala Lumpur. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-114459) dilaporkan positif Covid-19 pada 1 Januari hasil saringan individu bergejala. Sehingga Khamis, sejumlah 67 individu disaring dengan 20 kes dikesan positif,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Desa Setapak yang melibatkan daerah Titiwangsa, Kuala Lumpur dikesan selepas kes indeks (iaitu kes ke-116076) dilaporkan positif pada 2 Januari lepas hasil saringan individu bergejala.

Sejumlah 25 individu disaring, dengan 15 kes dikesan positif setakat hari ini bagi kluster itu.

Kluster Jalan Jaya pula melibatkan daerah Cheras, Kuala Lumpur, dengan kes indeks (iaitu kes ke-114380) dilaporkan positif Covid-19 pada 1 Januari lepas hasil saringan individu bergejala dan sehingga Khamis, KKM menyaring sejumlah 45 individu dengan tujuh kes dikesan positif bagi kluster itu.

“Kluster Ziarah Putra, ia melibatkan kawasan Putrajaya, dengan kes indeks (iaitu kes ke-120815) dilaporkan positif pada 4 Januari lepas, hasil saringan individu bergejala. Sehingga Khamis, sejumlah 29 individu disaring,dengan tujuh kes dikesan positif dalam kluster ini.

"Kluster Keranji Tabuan pula melibatkan daerah Kuching, Sarawak. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-122776) dilaporkan positif pada 5 Januari hasil saringan individu bergejala. Sehingga Khamis, sejumlah 54 individu disaring di mana enam kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya. - Bernama