Lelaki OKU ditahan ugut bunuh wartawan

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) kerana disyaki mengugut bunuh seorang wartawan berhubung penulisannya yang menyokong tindakan tegas pihak berkuasa dalam membanteras jenayah.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki tersebut ditangkap pada 5 Januari lalu susulan laporan polis yang dibuat oleh wartawan tersebut pada 28 Disember lepas.

"Siasatan awal mendapati lelaki berusia 52 tahun berkenaan ialah ayah kepada seorang daripada empat suspek yang mati terkena tembakan polis di Sungai Buloh pada 25 Disember lepas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Eng Lai berkata, suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau itu dikatakan membuat ugutan bunuh terhadap wartawan tersebut melalui panggilan telefon.

"Kes disiasat menurut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan lelaki pemegang kad OKU (mental) tersebut dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Dalam kejadian 25 Disember lalu, empat lelaki yang dipercayai menyamun sebuah rumah di Rawang mati terkena tembakan polis selepas kereta dinaiki mereka merempuh sebuah motosikal GrabFood ditunggang seorang wanita tempatan dan mengheretnya sejauh beberapa meter ketika cuba meloloskan diri.

Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta itu untuk menyelamatkan mangsa daripada dirempuh kali kedua dan turut melepaskan tembakan yang mengenai kesemua suspek apabila seorang daripada mereka keluar dari kereta sambil memegang parang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kes samun: Polis tembak empat lelaki