Rokok, minuman keras seludup lebih RM3 juta dirampas

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUCHING - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak mencatatkan rampasan rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai RM3,094,213.64 dalam dua serbuan berasingan di bawah operasi Op Libas sebuah bengkel di daerah Padawan dekat sini dan di sebuah kediaman di bandar raya Miri, pada Rabu.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Mancha Ata berkata, dalam operasi pertama yang dijalankan di sebuah bengkel Sarcon Enterprise, Jalan Kuching-Serian, Padawan, kira-kira 1 pagi, tiga lori di bengkel itu diperiksa dan sejumlah rokok pelbagai jenis serta minuman keras ditemukan.

“Rokok pelbagai jenis berjumlah 5,000 karton dan 1,610 kotak minuman keras jenis bir dalam tin dan 87 kotak minuman keras jenis bir dalam botol.

“Turut ditahan lima lelaki warganegara tempatan dan anggaran jumlah rampasan keseluruhan (termasuk nilai tiga lori berkenaan) adalah RM1,348, 861.64. Kesemua tangkapan dan rampasan dibuat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada pihak IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Padawan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Mancha berkata, dalam operasi kedua yang dijalankan kira-kira 5.45 petang di sebuah kediaman di King’s Park, Miri, sejumlah 2,073,600 batang rokok kretek pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1,700,352 yang disyaki belum dibayar cukai kastam berjaya dirampas.

“Kesemua rampasan telah diserahkan kepada pihak IPD Miri untuk tindakan selanjutnya,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: