Banjir: Bomba bantu pindahkan 40 ekor kucing

Anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Krai bantu memindahkan kucing tersebut mengharungi air separas pinggang. Foto Bernama
Anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Krai bantu memindahkan kucing tersebut mengharungi air separas pinggang. Foto Bernama
A
A
A

KUALA KRAI - Kasih sayang pemilik kucing yang bimbang terhadap haiwan peliharaannya dihanyutkan banjir memaksanya memindahkan kesemua 40 kucingnya ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai di sini pada Khamis.

Nohidayah Kamaruddin, 31, berkata, kesemua kucing kesayangannya tersebut dipindahkan menggunakan khidmat bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Krai yang mengangkut kucing tersebut mengharungi air separas pinggang, sejauh 500 meter dari rumahnya.

"Rumah saya terletak berdekatan sungai dan sebaik sahaja air naik mendadak dan masuk ke dalam rumah, saya menghubungi anggota bomba untuk membantu mengalihkan kucing-kucing ini.

"Sebelum ini saya mempunyai lima kucing sahaja tetapi kali ini memandangkan jumlahnya sudah banyak, saya mahu kucing ini selamat dengan dipindahkan ke PPS," katanya ketika ditemui semasa memindahkan kucing di rumahnya di Kampung Kenor di sini pada Khamis.

Menurutnya, beliau turut membawa enam sangkar khas, makanan dan pasir bagi membolehkan kucing-kucing tersebut berada dalam keadaan selesa biarpun ditempatkan di PPS tersebut.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, kesemua kucing di bawah jagaannya adalah kucing jalanan yang diselamatkan kerana terbiar dalam keadaan sakit dan memerlukan rawatan serta penjagaan rapi.

"Bencana Bah Kuning 2014 memberi peluang kepada saya menemukan banyak kucing jalanan yang terbiar termasuk kelaparan dan kesakitan yang akhirnya menyebabkan saya membawanya pulang ke rumah untuk dirawat.

"Keadaan ini menimbulkan keinginan untuk terus menyelamatkan kucing jalanan terbuang dan berpenyakit, malah terlalu sayang dengan kucing-kucing ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, 11 anggotanya mengharungi banjir bagi menyelamatkan kucing berkenaan.

Katanya, pihaknya sentiasa menerima panggilan daripada penduduk yang terjejas banjir bukan sahaja melibatkan nyawa manusia tetapi juga haiwan peliharaan. - Bernama