Surat terbuka kepada PM

Surat terbuka kepada Perdana Menteri yang ditandatangani 46 orang orang pakar kesihatan negara.
Surat terbuka kepada Perdana Menteri yang ditandatangani 46 orang orang pakar kesihatan negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Susulan peningkatan kes positif Covid-19 yang semakin membimbangkan, seramai 46 orang pakar kesihatan negara telah menandatangani sepucuk surat terbuka yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara yang menandatangani surat tersebut ialah bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Christopher Lee.

Dalam surat bertarikh 7 Januari 2021 itu, mereka meminta kerajaan mengambil tindakan segera dan serius bagi mengelak Malaysia berhadapan dengan situasi Covid-19 yang tidak terkawal.

Terdapat 10 cadangan yang dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Muhyiddin dalam usaha menangani kesan buruk akibat Covid-19 kepada ekonomi dan kehidupan rakyat, antaranya meningkatkan kekerapan ujian yang turut dibuat secara massa dengan menggunakan kit ujian (RTK-Ag) yang cepat dan murah daripada menggunakan ujian PCR.

Menurut surat tersebut, pengesanan awal hasil diagnosis RTK-Ag yang boleh diperoleh dalam masa 24 jam membolehkan proses pengasingan kes dilakukan dengan cepat dan memudahkan pengesanan kontak rapat.

“Penjejakan kontak juga perlu diautomasikan dengan aplikasi digital bagi mempercepat proses penjejakan sambil memanfaatkan data sains dan pembelajaran mesin untuk mengenal pasti kawasan panas di Malaysia untuk saringan bersasar.

“Dengan tindak balas pantas Find-Test-Trace-Isolate (FTTI), ia berupaya memecahkan kluster Covid-19 dan mengurangkan penyebaran Covid-19.

“Sebagai persediaan menghadapi jangkaan peningkatan Covid-19 dan melindungi keupayaan penjagaan kesihatan, kami menganjurkan bahawa kes klinikal tahap satu dan dua diasingkan di rumah dengan garis panduan yang jelas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” menurut pakar-pakar kesihatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tulis mereka lagi, keadaan pesakit Covid-19 tahap awal boleh dipantau melalui aplikasi digital dan disokong melalui pemerkasaan masyarakat serta memindahkan dengan segera pesakit dengan tahap kesihatan yang semakin merosot ke hospital.

Bagi melindungi pekerja perubatan profesional yang bertugas di hospital Covid-19, mereka turut mencadangkan supaya keseluruhan pesakit umum perlu dipindahkan di 19 buah hospital kerajaan yang tidak mengendalikan kes Covid-19 dan hospital swasta.

“Ia akan memberi peluang kepada pekerja perubatan untuk memberi tumpuan kepada kes kritikal dan tidak terganggu dengan kes Covid-19 yang ringan serta tidak menunjukkan gejala.

“Industri sokongan yang merupakan enjin kepada ekonomi negara perlu tumbuh seiring dengan langkah kreatif untuk mengurangkan 3S iaitu jauhi kawasan sesak, elak kawasan sempit dan elak sembang atau bertutur dengan jarak dekat.

“Inisiatif Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) adalah perkongsian tiga pihak iaitu kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menekankan rejim ujian pengesanan awal bagi meningkatkan langkah kesihatan awam dan pendidikan bagi industri serta pekerja migran,” katanya.

Dalam pada itu, pakar perubatan turut menggesa proses pengawalseliaan vaksin dilakukan dengan pantas bagi membolehkan ia boleh terus digunakan sebaik sahaja dos pertama vaksin tiba di lapangan terbang.

“Penumpuan juga perlu diberikan terhadap usaha memerangi penyebaran maklumat yang salah mengenai vaksin, selain memperkasakan pemahaman rakyat.

“Selain mengutamakan kumpulan berisiko tinggi, pertimbangan serius harus diberikan kepada usaha memvaksin pekerja migran bagi melindungi industri dan komuniti pelarian yang berpotensi menjadi pusat penyebaran wabak.

“Kos vaksin mesti dihadkan kurang daripada RM100 setiap dos bagi mereka yang mendapatkannya suntikan secara peribadi dan selanjutnya kit ujian pantas mesti dihadkan kurang daripada RM100 setiap ujian untuk memastikan ia lebih berpatutan dan digunakan oleh lebih ramai orang,” katanya.

Mereka turut mencadangkan pembentukan segera pasukan petugas Covid-19 yang terdiri daripada pelbagai sektor.

“Selain itu, mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika wabak masih tidak terkawal adalah tindakan mengundang bencana seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Ia adalah pengurusan kesihatan awam pandemik yang asas dan kita percaya Perdana Menteri akan mempertimbangkan dengan segera dan serius untuk mengurangkan kesan negatif wabak Covid-19, melindungi nyawa, mata pencarian rakyat dan menetapkan semula pemulihan ekonomi,” menurut surat tersebut.