5,000 penduduk Tanah Merah terputus hubungan

Laluan dari Kampung Jerangau yang menghubungkan beberapa kampung lain sudah ditenggelami banjir.
Laluan dari Kampung Jerangau yang menghubungkan beberapa kampung lain sudah ditenggelami banjir.
A
A
A

TANAH MERAH - Hampir 5,000 penduduk di lima kampung di daerah ini terputus hubungan berikutan dua laluan utama di kawasan itu ditenggelami air sejak Selasa.

Berikutan hujan lebat sejak Selasa lalu, laluan dari Kampung Jerangau menuju ke Jalan Kusial yang menghubungkan Kampung Bukit Langsat, Hutan Lanjut, Cabang Tiga Ipoh, Banggol Nering hanya boleh dilalui menggunakan bot.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati terdapat beberapa kawasan yang sudah ditenggelami air sedalam dua meter disebabkan limpahan Sungai Kusial, Tanah Merah berikutan hujan lebat melanda jajahan tersebut.

Penghulu Mukim Tebing Tinggi, Mohd Rafik Umardin berkata, air mula naik dengan cepat sejak Selasa dan buat permulaannya satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Komuniti Tebing Tinggi pada jam 7 petang pada hari tersebut.

“Hujan lebat dan air naik dengan cepat. Seramai 73 mangsa kumpulan pertama masa itu telah dipindahkan kerana bimbang laluan tidak boleh dilalui pihak berkuasa.

“Laluan sejauh lebih tiga kilometer ini memang tidak selamat untuk digunakan kalau air terus naik dan kawasan ini sudah menjadi macam pulau,” katanya ketika ditemui di sini Kampung Jerangau pada Khamis.

Mohd Rafain (depan) memantau paras Sungai Kusial di Taman Kota Harmoni pada Khamis.
Mohd Rafain (depan) memantau paras Sungai Kusial di Taman Kota Harmoni pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd Rafain Mat Zin berkata, penduduk diingatkan untuk tidak bermain banjir.

Artikel Berkaitan:

“Selain tidak bermain air secara berkumpulan bagi mengelak penularan Covid-19, saya juga menasihatkan penduduk supaya menjaga keselamatan diri bagi mengelak kejadian lemas dan juga renjatan elektrik,” katanya.

Terdahulu, beliau membuat tinjauan paras air Sungai Kusial di Taman Kota Harmoni dan turut memberikan nasihat kepada penduduk sekitar kawasan terjejas.

Sementara itu, berdasarkan portal infobanjir.water.gov.my sehingga jam 3 petang Khamis, paras Sungai Kelantan di Kusial masih melepasi paras bahaya.

Dalam pada itu, di Kuala Krai, kira-kira 100 penduduk Kampung Temalir di sini terputus hubungan apabila jambatan mereka runtuh dihanyutkan arus deras banjir.

Kejadian itu disedari penduduk pada pagi Khamis apabila mendapati jambatan tersebut hilang ketika mereka mahu menggunakan kemudahan tersebut.

Seorang penduduk, Sabariah Che Kub, 53, berkata, situasi itu menyebabkan penduduk tidak dapat keluar dari kawasan tersebut untuk mendapatkan bekalan makanan.

"Laluan alternatif ada, tapi hanya boleh dilalui oleh kenderaan jenis pacuan empat roda sahaja.

Mohd Rafain turut bertanyakan penduduk berkaitan perkembangan terkini banjir di Kampung Jerangau.
Mohd Rafain turut bertanyakan penduduk berkaitan perkembangan terkini banjir di Kampung Jerangau.

"Bagi penduduk yang tiada kemudahan itu, agak sukarlah untuk mereka keluar. Lagipun keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini boleh mendatangkan risiko kepada penduduk," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Menurutnya, arus deras mula membadai kawasan Sungai Temalir itu susulan hujan lebat sejak Selasa lalu.

Katanya, penduduk kampung berharap pihak berkuasa dapat menghulurkan bantuan segera kepada mereka.

Sinar Harian pada 2 Jun lalu melaporkan lebih 20 penduduk bergotong-royong memperbaiki laluan jambatan Kampung Temalir yang sebelum ini sempit selepas runtuh dihanyutkan arus deras.